Sathianathan : “Dalam Dunia Tak Ramai Jurulatih Remaja Gaji Tinggi Macam Lim Teong Kim”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih kebangsaan B.Sathianathan mengakui terkejut dengan pendedahan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai permintaan gaji Lim Teong Kim untuk mengendalikan pasukan pembangunan Johor Darul Takzim.

Tunku Ismail dalam satu temuramah baru-baru ini berkata Lim Teong Kim meminta sekitar 70,000 ke 80,000 Euro (RM330,000 – RM380,000) dan jumlah itu adalah tidak munasabah memandangkan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari itu tidak ada sebarang pengalaman membawa pasukan senior.

Malah menurutnya, pemain mahupun jurulatih JDT sendiri tiada yang dibayar setinggi itu justeru mencabar Lim Teong Kim datang bekerja dengan bayaran gaji RM20,000 – RM30,000 jika benar sayangkan pembangunan bolasepak Malaysia.

Berita Berkaitan : TMJ Anggap Lim Teong Kim Tak Cukup Kelayakan, Minta Gaji Pun Tidak Munasabah

Walaupun perkara itu dinafikan Lim Teong Kim, Tunku Ismail berkata beliau mempunyai saksi yang mendengar sendiri permintaan gaji tersebut selain menyatakan bahawa Teong Kim ada menyindir dengan mengatakan “Jika Lamborghini boleh beli, takkan gaji saya tak mampu bayar.”

Sathianathan yang sememangnya diketahui tidak sebulu dengan Lim Teong Kim sejak dari dulu, menyokong kata-kata Tunku Ismail sambil menegaskan pemilik JDT itu tiada sebab untuk mereka-reka cerita.

“Memang tinggi, dalam dunia saya ingat tak ramai jurulatih remaja harga (gaji) macam itu. Kalau di Eropah semua macam itu saya fikir banyak kelab yang bankrap.

“Kalau betul dia minta 70,000 euro hingga 80,000 euro memang saya terkejut. Hanya segelintir jurulatih dekat Eropah macam Pep Guardiola dan yang jaga kelab EPL (Liga Perdana Inggeris) semua tinggi, tapi berapa peratus saja jurulatih hebat yang bergaji tinggi di Eropah.

“Bagi saya takkan Tunku (TMJ) nak bohong, apa dia dapat untuk berbohong. Tunku ini kalau anda tahu jenis orang yang cakap terus terang. Dia anak Raja, dia tak dapat apa-apa kalau bohong.

“Tak payah bohong dia tak ada kepentingan apa-apa pun. TMJ pun ada ramai kawan dekat Sepanyol termasuk dengan kelab Valencia dan Barcelona, mesti dia tahu pasal gaji,” ujar Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia kepada BH Sukan.

Sathianathan turut sempat menyindir Lim Teong Kim dengan mengatakan, “Tapi saya memang mengharapkan Teong Kim dapat melatih skuad senior dalam Liga Malaysia kerana dia memiliki keyakinan yang tinggi walaupun tiada pengalaman dengan mana-mana pasukan senior.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.