Sathianathan dedah kisah sebenar tentang Rufino dan Prabhakaran

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan akhirnya membongkar mengenai beberapa perkara yang seringkali dipertikai penyokong sepanjang dia mengendalikan pasukan itu bermula awal tahun 2019 sehinggalah dipecat kira-kira dua minggu lalu.

Selain mendedahkan bahawa terdapat individu di dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang bersikap ‘tahu semua perkara tentang bola’ melebihi dirinya sendiri sehingga mengganggu perjalanan pasukan, Sathianathan beranggapan dia tidak mendapat sokongan sewajarnya untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Saya pernah meminta pihak pengurusan untuk mendapatkan seorang pertahanan kiri kerana Praba (K. Prabakaran) yang selalu main di posisi itu kerap dikutuk oleh penyokong Selangor apabila diturunkan.

“Ramai yang bersikap perkauman dan dia menjadi takut untuk bermain.

“Tetapi ia tidak dipersetujui, bukan oleh orang teknikal tetapi orang di pejabat yang memakai tali leher, yang tiba-tiba lebih tahu pasal bola sepak daripada saya.

“Saya menerimanya dan pada saat-saat akhir, mereka memberikan kebenaran tetapi pemain yang saya inginkan itu sudah ke PJ City (Petaling Jaya City FC),” kata Sathianathan dalam Program Bual Bicara [email protected]

Pemain yang dimaksudkan Sathianathan itu dipercayai pertahanan kiri berpengalaman Fitri Omar yang sememangnya disebut-sebut akan menyertai Red Giants ketika awal musim.

Kegagalan membawa masuk bekas pemain Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang itu menjadikan Sathianathan hanya mempunyai Prabhakaran sebagai pilihan utama di posisi bek kiri dan Ashmawi Yakin serta pemain muda Azrin Afiq Rusmini sebagai ‘backup’.

PENGURUSAN KATA TIADA DUIT TUKAR RUFINO

Sathianathan juga mendedahkan cerita sebenar mengenai mengapa pasukan itu mengekalkan penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia meskipun pemain itu tersisih lama (selama lebih setahun) kerana kecederaan.

“Saya meminta agar Rufino digantikan kerana dia mengalami kecederaan yang teruk sejak Mac 2019. Ramai pakar di Selangor berkata dia sudah tidak boleh bermain kerana tendonnya sudah dipotong.

“Jika tendon Achilles sudah bermasalah, kebiasaannya pemain itu akan bermasalah. Ototnya sudah dikerat dan dipendekkan, jadi pakar fisioterapi di Selangor sudah mengesahkan pemain itu tidak boleh bermain secara normal, jadi saya meminta untuk dia ditukarkan.

“Apabila saya meminta Rufino diturunkan ke Selangor II dan kita ambil penyerang baru, mereka kata tiada duit untuk mengambil seorang pemain lagi, jadi saya hanya ada satu penyerang.

“Bila peminat-peminat Selangor tanya mengapa saya tidak mengambil sorang pemain yang bagus dan berkaliber seperti Dickson (Nwakaeme), saya katakan yang Selangor tiada duit.

“Apabila saya cakap tiada duit, saya dimarahi oleh pihak pengurusan tetapi itulah realitinya,” ujar Sathianathan lagi.

Sathianathan hanya sempat membimbing Selangor untuk lapan perlawanan musim ini, di mana skuad Red Giants mencatat dua kemenangan, empat seri dan dua kekalahan. Dia dipecat selepas kekalahan 6-1 di tangan Johor Darul Takzim pada 19 September.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.