Sathianathan Dianggap Calon Terbaik Ganti Ong Kim Swee Sebagai Pengarah Teknikal FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kerusi Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini kosong selepas Dato’ Ong Kim Swee membuat keputusan melepaskan jawatannya baru-baru ini untuk menyertai pasukan Sabah FC.

Beberapa nama telah dikaitkan untuk menggantikan beliau termasuklah Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Saad Ichachelene.

Sebelum ini Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar menyatakan senarai calon untuk jawatan itu belum dibincangkan tetapi perkara paling penting akan diambil kira adalah individu yang menjadi Pengarah Teknikal perlulah memenuhi kriteria ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia.

“Prosedur pemilihan pengarah teknikal bukanlah boleh diambil secara tangkap muat kerana nama mereka perlu dihantar kepada AFC sebelum kita mengambil mereka mengisi kekosongan jawatan itu.

“Pada masa sekarang, tiada perbincangan mengenai calon yang akan menggantikan Kim Swee dan tidak menolak juga jawatan berkenaan akan diisi oleh individu dari luar negara. Kita akan membincangan senarai nama apabila keadaan sudah reda dan Kim Swee secara rasmi meninggalkan FAM kelak,” ujarnya.

Bagi penolong jurulatih UKM FC, beliau beranggapan bekas jurulatih kebangsaan yang juga Pengarah Teknikal Sarawak United, B.Sathianathan adalah individu paling sesuai untuk jawatan tersebut berdasarkan pengalaman luasnya selama hampir tiga dekad dalam bidang kejurulatihan.

Berita Berkaitan : Benarkah Track Record Sathianathan Tidak Begitu Cantik?

“Bagi saya, daripada kita fokus kepada calon luar lebih baik berikan tanggungjawab itu kepada Sathianathan. Beliau bukan saja pernah mengendalikan pasukan-pasukan dalam saingan Liga Malaysia, malah juga pernah menjadi jurulatih skuad Harimau Malaya.

“Saya kira beliau calon yang terbaik. Rugi kalau kita tidak memanfaatkan pengalaman dan ilmu yang ada padanya. Daripada kita bayar mahal kepada orang luar, baik guna kepakaran orang tempatan saja,” katanya kepada Arena Metro.

Sebagai rekod, Sathianathan mula terlibat dalam bidang kejurulatihan pada 1992 bersama Negeri Sembilan dalam saingan Piala Emas Raja-Raja sebelum menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara pada 1997-1999 dan 2002-2004.

Beliau kemudiannya melatih skuad B-23 negara dan membawa pasukan itu menjuarai Pestabola Merdeka 2007 sebelum ‘dinaikkan pangkat’ sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Selepas meninggalkan skuad kebangsaan pada Februari 2009, Sathianathan telah bersama skuad Kelantan dan membimbing mereka menjuarai Piala Malaysia 2010 sebelum bersama ATM, Felda United dan Selangor.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Kebangsaan sebanyak tiga kali pada 2010, 2012 dan 2017.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.