Sathianathan salahkan diri, ambil tanggungjawab kekalahan besar di tangan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selangor gagal menyekat Johor Darul Takzim daripada melebarkan penguasaan di tangga teratas Liga Super apabila kecundang dengan jaringan besar 1-6 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada Sabtu.

Safawi Rasid membuka jaringan menerusi sepakan percuma pada minit akhir separuh masa pertama, dan kemudian menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-49, disusuli jaringan Diogo Santo, Gonzalo Cabrera dan dua gol jaringan pemain gantian Ramadhan Saifullah (gambar utama).

Menurut pengendali Selangor, B.Sathianathan, penalti di awal separuh masa kedua menjadi titik tolak yang membunuh dan menjejaskan mental pemainnya dengan teruk.

“Separuh masa pertama kita boleh main, walaupun JDT pasukan berkualiti tapi kita boleh beri saingan, kita pun mempunyai peluang jaringkan gol.

“Kemudian dia dapat sepakan percuma dan kita lepaskan gol yang tidak disangka.

“Separuh masa kedua, awal sangat dia dapat penalti, takkanlah itu penalti, orang kata itu dekat luar, tapi bagi dia itu penalti, dan ia merubah banyak di mana selepas itu kita lepaskan gol ketiga dari sudut yang mustahil, kita lepaskan gol-gol mudah dan saya terpaksa buat pertukaran.

“Bila kita keluarkan Safuwan (Baharuddin) saya terpaksa masukkan pemain muda, kita nampak ketiadaan Safuwan banyak ganggu kawasan tengah,” ujar Sathianathan selepas tamat perlawanan.

Baca juga : Sathianathan – ‘Kalau saya ahli silap mata mungkin saya tahu pemain mana akan bermain baik’

Tambah Sathianathan lagi, “Tidak banyak yang kita boleh atasi apabila kita (kemudiannya) hanya masukkan Rufino (Segovia) dan Sean (Selvaraj) barulah kita dapat jaringkan gol. Separuh masa kedua kita hancur terus. Selangor bukan seperti JDT, keluar 4-5 pemain yang masuk adalah dengan kualiti yang sama.

“Apapun saya terpaksa telan kekalahan ini, ia salah saya, saya takde salahkan sesiapa, saya salahkan diri saya kerana ada pemain belum bersedia untuk diturunkan.

“Mungkin persediaan bagi separuh masa kedua saya kena kuatkan mental mereka, mungkin mental mereka terganggu dengan gol yang dilepaskan pada minit akhir separuh masa pertama. Saya tak boleh salahkan pemain, saya ambil tanggungjawab.”

Kekalahan terbaru ini merupakan kekalahan kedua Red Giants bagi musim ini, menyaksikan mereka kekal dengan 10 mata dari lapan perlawanan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.