“Satu sen pun tak pernah bagi, Adi Putra hanya sembang kosong”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Yayasan Hadi tidak pernah menyumbang walau satu sen sekalipun kepada Kuala Kangsar FC sejak kedua-dua pihak menjalin kerjasama pada Mac lalu, jadi tidak perlu tarik diri sebagai penaja sebaliknya perjanjian terbatal dengan sendiri.

Demikian kenyataan balas Kuala Kangsar FC berhubung tindakan Yayasan Hadi milik pelakon terkenal tanah air Datuk Adi Putra menarik balik sokongan penajaan kepada kelab Liga M3 itu.

Malah pengurus pasukan KKFC, Datuk Shaharol Asafali juga menegaskan perjanjian penajaan Yayasan Hadi dan pelantikan Datuk Adi Putra sebagai duta kelab hanya termeterai secara lisan tanpa dokumen hitam putih.

“Pelantikan sebagai penaja utama dipersetujui kedua-dua pihak. Ini adalah atas dasar lisan antara KK FC dan Yayasan Hadi bahawa beliau (Adi Putra) akan mencari dana untuk KK FC, tetapi sehingga kini RM700,000 sudah dikeluarkan (oleh kelab).

“RM700,000 sudah dibelanjakan oleh kami tanpa menggunakan sumbangan dari penajaan Yayasan Hadi, kerana tiada apa-apa langsung sumbangan daripada yayasan itu walaupun RM1.

“Pelantikan Datuk Adi Putra sebagai duta KK FC juga diputuskan atas situasi menang-menang yang mana kedua-dua belah pihak menggunakan kelebihan masing-masing untuk bantu menaikkan nama masing-masing, dan pelantikan ini adalah secara lisan dan tiada perjanjian bertulis,” katanya.

Tambah Shaharol lagi, bukan itu sahaja tetapi kelab itu pula yang terpaksa membayar beberapa keperluan dan pembaikan pejabat Yayasan Hadi termasuk hutang sewa pejabat yang tertunggak sejak tahun lalu, gaji pemandu, elaun sebagai duta kelab, dan lain-lain.

“Sebagai duta, Adi Putra pernah menyatakan hasrat mendapatkan sumbangan daripada rakannya, kenalan dan hubungan politik yang beliau ada tetapi hakikatnya tiada apa-apa yang berlaku seperti yang beliau nyatakan.

“Adi juga pernah meminta untuk dilantik sebagai Penasihat Pasukan yang perlu diberi elaun, namun permintaan itu ditolak mentah-mentah oleh kesemua Ahli Jawatankuasa KKFC memandangkan kami sudah mempunyai jurulatih dan individu berpengalaman dalam bolasepak.

“Kerana itu, tidak perlu ada penarikan balik penajaan disebabkan persetujuan awal tidak dapat dipenuhi serta tiada pencabulan hak dari pihak KKFC, yang mana secara tidak langsung ianya terbatal dengan sendirinya.

“Selain itu, perkara ini sama sekali tidak menjejaskan pembayaran gaji pemain serta aktiviti bola sepak yang berlangsung nanti,” kata Shaharol.

Terdahulu, Datuk Adi Putra membuat keputusan menarik balik sokongan penajaan kepada Kuala Kangsar FC yang merupakan pendatang baru dalam saingan Liga M3 musim ini susulan berlakunya unsur penipuan dan pemalsuan dokumen oleh Shaharol dan beberapa individu.

Penyelewengan itu membabitkan dua surat tawaran ditandatangani Shaharol menggunakan kepala surat Yayasan Hadi bagi projek membaikpulih Surau Al Fallah USJ 10 Subang Jaya, Selangor serta projek membekalkan komputer riba, masing-masing membabitkan nilai RM47,000 dan RM203,980.

“Saya, pengarah lain, dan atau pihak Yayasan Hadi tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan dengan pengisuan (dua) surat ini kepada syarikat yang berkenaan serta tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan tawaran projek seperti yang dinyatakan dalam surat,” kata Datuk Adi Putra dalam kenyataan di media sosialnya.

Sebagai rekod, selain sokongan penajaan daripada Yayasan Hadi, KKFC turut merekrut beberapa pemain berprofil tinggi untuk memperkuatkan pasukan seperti pemenang Anugerah PUSKAS 2016, Faiz Subri dan penyerang tempatan terbaik 2019, Shafiq Shaharudin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.