“Saya adalah terbaik dalam pengurusan bolasepak, bukan riak tapi fakta!”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tunku Ismail Sultan Ibrahim menekankan beliau tidak ada sebarang hasrat untuk kembali ke dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaliknya hanya mahu membantu skuad kebangsaan.

Seperti diketahui, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Takzim menawarkan diri untuk mengambil alih pengurusan pasukan kebangsaan selepas ini setelah skuad Harimau Malaya tampil dengan aksi tidak menepati ekspetasi di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Timbul tanggapan dalam kalangan penyokong Tunku Ismail mahu kembali ke dalam FAM dan ia mendapat pelbagai reaksi, apatah lagi ketika beliau menerajui badan induk itu tidak banyak berjaya dilakukannya untuk meningkatkan prestasi Harimau Malaya.

Sebaik Tunku Ismail menjadi Presiden FAM, beliau melantik Nelo Vingada  sebagai ketua jurulatih namun skuad negara gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tujuh aksi di bawah kendaliannya menyebabkan dia meletak jawatan pada Disember tahun sama.

Bagaimanapun Tunku Ismail berkata ketika menerajui FAM selama setahun dari 2017-2018, fokus beliau bukannya pasukan kebangsaan sebaliknya menyelesaikan pelbagai masalah membelenggu FAM.

Justeru jika diberi peluang untuk menguruskan skuad kebangsaan kali ini, beliau yakin sesuatu yang lebih baik boleh dilakukan.

“(Melantik) Nelo Vingada kesilapan saya percaya kepada seseorang jurulatih dari Malaysia, dan saya tidak fokus kepada pasukan kebangsaan (ketika jadi Presiden).

“Saya terlebih fokus untuk menyelesaikan hutang FAM dan tukar perlembagaan. Tapi apa-apa pun, suka tak suka, saya adalah yang terbaik dalam pengurusan bolasepak. Bukan riak, fakta!

“Saya tiada posisi. Tiada jawatan dalam badan induk. Saya cuma jaga dan uruskan pasukan kebangsaan. Disiplin pemain, kawal pasukan daripada pihak media atau anasir-anasir yang boleh mengganggu fokus dan mental pemain, teknikal pasukan yang mengkaji setiap pemain dalam negara.

“Pemain mana yang sesuai dengan falsafah kita. Kemudahan latihan dan sesi pemulihan itu sahaja. Bukan undang-undang bola sepak negara yang boleh ada kepentingan diri,” kata Tunku Ismail.

Sebagai rekod, skuad negara yang pertama kali turun beraksi selepas ‘berehat’ hampir 19 bulan, tampil dengan aksi mengecewakan tewas kesemua empat perlawanan (termasuk dua perlawanan persahabatan) walaupun diletakkan harapan tinggi susulan adanya pemain berdarah kacukan, pemain naturalisasi dan pemain berpangkalan di luar negara.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.