“Saya Anggap Kita Menang 2-1”, Ujar Rezal Zambery Yang Berang Dengan Mutu Pengadilan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kelantan FC Rezal Zambery Yahya nyata cukup kecewa dengan mutu pengadilan yang disifatkan sebagai punca pasukannya terlepas peluang melakar kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia 2021.

Rezal Zambery menyaksikan barisan pemainnya tampil dengan permainan bertenaga untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk mendahului Sabah FC 2-1 namun akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2.

Kedua-dua gol Sabah FC dijaringkan Risto Mitrevski menerusi sepakan penalti dan Rezal Zambery menganggap keputusan pengadil meragut kemenangan dari tangan Kelantan FC.

“Saya beranggapan bahawa sebenarnya kita menang 2-1, tapi mutu pengadilan memang saya kecewa. Dengan apa pemain saya tunjukkan tapi direntap dengan keputusan tak adil, apapun kita akan kemukakan bantahan kepada MFL tentang mutu pengadilan.

“Terima kasih kepada pemain saya walaupun lawan pasukan Liga Supe, mereka bermain bersungguh-sungguh. Memang kita sedar kemampuan kita tapi pemain telah tunjukkan Kelantan bukan pasukan belasahan dan saya sebenarnya terkejut dengan keputusan ini. Inilah bolasepak apa-apa boleh jadi.

“Keyakinan pemain sangat tinggi walaupun kita turun dengan ramai pemain alami kecederaan, ramai pemain perlu didedahkan dengan aksi kesebelasan utama. Ditambah dengan dua perlawanan dalam tempoh tiga hari mereka agak kepenatan.

“Tapi kita tampil dengan permainan menyerang dan berjaya dapatkan dua gol padang bukannya menerusi penalti atau set piece,” kata Rezal selepas perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu, Sabah mendahului 1-0 pada minit ke-30 menerusi sepakan penalti disempurnakan kapten pasukan Risto Mitrevski.

Penalti dihadiahkan pengadil Fitri Miskon selepas bola terkena tangan Zubir Azmi.

Kelantan bagaimanapun berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi percubaan Nataneal Siringgo Ringgo yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Robson Rendy Rining tujuh minit kemudian.

Giliran skuad The Red Warriors pula mendahului pada minit ke-69 menerusi Haziq Subri namun pengadil sekali lagi menghadiahkan penalti buat Sabah pada minit ke-79 yang disempurnakan Risto Mitrevski.

Keputusan seri menyaksikan Sabah kini mengumpul dua mata dari dua perlawanan, manakala Kelantan meraih mata pertama mereka.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.