“Saya Banyak Lakukan Kesilapan Hari Ini” – Lee Zii Jia Selepas Terciduk di Kejohanan Dunia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hasrat pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia mencipta sejarah memenangi Kejohanan Badminton Dunia lebur apabila dia terkandas seawal pusingan kedua.

Pemain ranking kelima dunia itu tewas setelah bertarung tiga set kepada pemain muda meningkat naik dari China, Zhao Jun Peng dengan keputusan 21-19, 11-21, 19-21 sekaligus menyaksikannya gagal untuk mengulangi pencapaian melangkah ke suku akhir pada edisi tahun lalu.

Selepas perlawanan, Lee Zii Jia berkata, “Saya banyak melakukan kesilapan hari ini. Zhao bermain dengan baik. Mungkin (pada masa akan datang) saya perlu lebih tenang dan selepas ini menstabilkan lagi prestasi saya.”

Sebelum ini, Zii Jia membuat keputusan untuk tidak bermain di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang berlangsung awal bulan ini kerana mahu memberi fokus penuh kepada usaha untuk muncul juara dunia.

Ini memberi ruang kepada pemain muda negara, Ng Tze Yong untuk menggalas cabaran selaku perseorangan lelaki utama di temasya tersebut, dan dia berjaya untuk memenangi satu pingat emas (acara berpasukan) serta satu pingat perak (acara perseorangan).

Bagi Lee Zii Jia pula, apa yang dilakukannya ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Dengan kekalahan dialami pemain berasal dari Kedah itu, serta tewasnya dua pasangan beregu wanita iaitu Pearly Tan-Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, cabaran Malaysia di Kejohanan Dunia kini digalas oleh beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta dua pasangan beregu campuran iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya meneruskan kemaraan apabila menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dengan keputusan 21-17, 21-19.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-12, 21-14 manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai turut melangkah ke suku akhir apabila menewaskan pasangan Perancis yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.