“Saya bukan siapa-siapa, tak profesional kalau penyokong suruh senaraikan saya”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Saddil Ramdani perlu diakui telah memahat nama sebagai salah seorang pemain kesayangan penyokong Indonesia sejak beberapa tahun lalu.

Bintang berusia 22 tahun itu telah mencipta nama sejak bersama skuad Sukan SEA Indonesia pada 2017 lagi dan kini dilabel salah seorang pemain tonggak skuad senior.

Justeru tidak hairanlah apabila namanya tidak disenaraikan bagi latihan pusat untuk mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ia mencetuskan kekecohan dalam kalangan penyokong fanatik pasukan itu.

Apatah lagi pemain itu ketika ini sedang menunjukkan prestasi mengagumkan bersama kelab Liga Malaysia, Sabah FC dan sewajarnya tiada sebab untuk namanya disingkirkan.

Saddil Ramdani bagaimanapun meminta media mahupun penyokong sang garuda supaya tidak memperbesarkan perkara itu dan menegaskan ketua jurulatih Shin Tae Yong pastinya sudah membuat keputusan tepat.

“Saya ini bukan siapa-siapa dan media tidak perlu meminta (jurulatih) memanggil saya. Percayalah, pemilihan pemain oleh jurulatih sudah menjadi keputusan terbaik untuk pasukan.

“Jangan terus cakap ‘beginilah, begitulah’, ia tidak baik dan tidak profesional sebagai masyarakat Indonesia.

“Jika saya tidak dipanggil, ya, saya harus sabar harus bekerja keras lagi. Bukan bermakna saya terus boleh masuk pasukan itu kerana ramai lagi pemain-pemain yang lebih berbakat berada dalam pasukan,” kata Saddil Ramdani yang turut pernah menyarung jersi Pahang pada 2019.

Sebelum ini, media Indonesia melaporkan penyokong-penyokong bolasepak negara itu membanjiri ruang komen media sosial pembantu jurulatih Nova Arianto mengenai Saddil Ramdani yang tidak dipanggil bagi menghadapi baki aksi pusingan kelayakan yang akan berlangsung pada Jun.

Nova Arianto kemudiannya menjawab dan mengakui Saddil bermain luar biasa di Malaysia, namun Tae-yong mempunyai penilaian tersendiri terhadap pemain yang disenaraikannya.

Sebagai rekod, Tae-yong merupakan bekas pemain kebangsaan Korea Selatan dan telah membimbing pasukan negaranya sejak 2015 bermula dengan skuad B-23 tahun dan B-20 tahun.

Pada 2017 – 2019 Tae-yong membimbing pasukan utama Korea Selatan yang menyaksikan mereka juga layak  beraksi di pentas Piala Dunia 2018.

Tahun lalu Tae-yong menerima tawaran Indonesia menggantikan Simon McMenemy sebagai jurulatih dengan kontrak empat tahun.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.