Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon gembira dengan kemenangan selesa 4-0 yang dilakar ke atas Brunei dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Jumaat, tetapi dia menegaskan itu bukan prestasi terbaik barisan pemainnya.
Malaysia berpesta gol ke atas Brunei yang berada di ranking ke-191 dunia menerusi jaringan Syafiq Ahmad, Syamer Kutty, Faisal Halim dan Guilherme De Paula malah kelihatan cukup dominan sepanjang perlawanan tetapi ada perkara lain yang pada hakikatnya menjadi perhatian Kim Pan-gon.
“Permainan kami sepatutnya lebih baik, saya tidak mengira berapa banyak gol yang kami jaringkan namun secara keseluruhan kami boleh melakukan prestasi lebih baik.
“Mesti ada rentak sepanjang perlawanan, seperti yang anda lihat dalam bola sepak peringkat tinggi mereka tidak terlalu menghentikan rentak, saya tidak boleh katakan saya tidak gembira tetapi saya cuba memahami pemain kita (kehilangan rentak),” katanya selepas perlawanan, dipetik dari Bernama.
Pengendali dari Korea Selatan itu bagaimanapun percaya masih ada masa untuk memperbetulkan perkara tersebut dan mahu melihat aksi yang jauh lebih baik apabila Malaysia berdepan pula dengan Hong Kong pada 1 Jun, sebelum beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.
Dalam aksi berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Kim Pan-gon telah menguji beberapa pemain yang bukan regular dengan menurunkan mereka di dalam kesebelasan utama antaranya penjaga gol Khairul Azhan Khalid, Junior Eldstal, Safiq Rahim, Mohamadou Sumareh, Syamer Kutty dan V. Ruventhiran.
Syafiq Ahmad yang akan kembali ke JDT selepas kontrak pinjamannya bersama Kedah ditamatkan, turut beraksi di dalam kesebelasan utama dan prestasi ditunjukkan pemain itu mendapat pujian menggunung daripada penyokong.
Dalam pada itu, Kim Pan-gon meminta supaya penyokong tidak menjadikan budaya menghentam atau ‘menyerang’ pemain apabila mereka beraksi buruk sebagai satu amalan, dengan menegaskan bahawa setiap pemain ada naik turun prestasi mereka.
“Anda mungkin marah atau kecewa namun kami cuba sedaya upaya untuk membanggakan anda dengan memberikan prestasi yang lebih baik dan bukannya bola sepak negatif. Jika mereka (pasukan) menangis, kami menangis, kami mesti menyokong penuh pemain,” katanya lagi.