“Saya datang bukan untuk jadi pelengkap” – Samuel Somerville

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertama kali menyertai kem latihan skuad kebangsaan tidak membuatkan penjaga gol Samuel Somerville berasa kekok.

Pemain Pulau Pinang itu pantas menyesuaikan diri dan tekad mencabar dengan serius Farizal Marlias dan Khairul Azhan Khalid untuk tempat di dalam kesebelasan utama Harimau Malaya, bukannya semata-mata menjadi pelengkap dalam skuad 25 pemain.

“Ketika ini saya menjalani latihan dengan keadaan yang cukup baik bersama Farizal dan Khairul Azhan yang semua mengetahui mereka cukup berpengalaman.

“Memang persaingan sebagai penjaga gol utama skuad Harimau Malaya adalah cukup bagus dengan masing-masing sedia melakukan yang terbaik, setiap dari kami mempunyai kelebihan masing-masing.

“Sudah tentu saya tidak mahu lepaskan peluang ini untuk memikat jurulatih, melihat nama tersenarai pun sudah merupakan satu penghormatan besar apatah lagi jika dapat diturunkan.

“Saya perlu lekas belajar dengan taktikal yang diterapkan jurulatih, saya perlu cuba memahaminya secepat yang mungkin dengan menterjemahkannya ketika sesi latihan.

“Mungkin kelebihan yang ada pada saya adalah aksi lebih sistematik dan lantang bersuara ketika berada di atas padang dalam usaha mengekang asakan lawan, ” kata pemain berdarah kacukan berusia 27 tahun itu.

Samuel Somerville yang turut pernah beraksi bersama Johor Darul Takzim selama lima musim, dipanggil menggantikan penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat susulan prestasi mengagumkan bersama Pulau Pinang dalam saingan Liga Super 2021.

Kecemerlangannya di gawang antara faktor Pulau Pinang bimbingan Thomas Trucha tampil gah menduduki kelompok empat terbaik ketika ini meskipun dia tersisih beberapa perlawanan kerana kecederaan dan digantikan Bryan See dalam tempoh tersebut.

Sebagai rekod, Harimau Malaya telah mula menjalani latihan pusat bermula Ahad lalu sebagai persiapan untuk baki tiga aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Jun di Dubai.

Skuad negara akan terlebih dahulu beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain, sebelum menentang UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Peluang masih terbuka untuk skuad Harimau Malaya melayakkan diri secara automatik ke pusingan seterusnya berdasarkan kedudukan semasa di tangga kedua Kumpulan G meskipun terdapat kebimbangan akan kehilangan 6 mata jika keputusan menentang pasukan tangga tercorot tidak diambil kira kerana penarikan diri Korea Utara.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.