“Saya Datang Sini Dengan Keyakinan Diri Hampir Tiada” – Nur Dhabitah Sabri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri tidak dapat menyembunyikan rasa sebak dan menitiskan airmata selepas berakhir acara final 3m platform Sukan Olimpik 2020 pada Ahad.

Tangisan itu bukan kerana dia terlepas peluang menyumbang pingat, tetapi kerana cukup  berbangga dengan pencapaiannya di temasya kali ini apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat daripada 12 peserta, hanya dibezakan 17.6 mata dengan pemenang pingat gangsa Krysta Palmer dari Amerika Syarikat.

Menurut Dhabitah, ia pencapaian yang sama sekali tidak disangka, memandangkan dia bertandang ke Tokyo dengan hampir hilang keyakinan diri.

“Saya tak sedih (terlepas gangsa) sebab itu adat permainan, malah saya sangat gembira, berbangga dengan diri, jurulatih saya pun berpuas hati. Bagi saya, sasaran di sini adalah untuk masuk ke final, saya masih muda dan saya tahu perjalanan saya masih jauh, orang panggil sebagai permulaan.

“Anda tak dapat bawa balik pingat, tapi anda mesti dapat bawa balik sesuatu, seperti pengalaman. Ini salah satu dari pengalaman. Jadi saya tak rasa saya balik kosong, saya balik dengan sesuatu.

“Saya menangis (ketika temuramah) bukan sebab saya sedih tak menang, tapi saya benar-benar bangga dengan diri saya (dapat menyaingi penerjun elit dunia) kerana sebelum ini berdepan situasi sukar, mengharungi pelbagai cabaran, tak dapat berlatih, persiapan terganggu, berpisah hampir setahun dengan keluarga, hingga hilang keyakinan diri.

“Malah, sebelum ke Olimpik Tokyo juga saya tidak pasti dengan diri namun dapat tempat keempat sememangnya saya bangga dengan diri. Terjunan saya konsisten, saya memberikan yang terbaik saya mampu,” kata Dhabitah.

Mengenai saingan sengitnya bersama Krysta Palmer, Dhabitah berkata dia tidak langsung mengambil tahu tentang kedudukan ketika beraksi sebaliknya hanya fokus melakukan terjunan terbaik.

Nur Dhabitah Sabri terjun "Saya Datang Sini Dengan Keyakinan Diri Hampir Tiada" - Nur Dhabitah Sabri

“Saya tak tahu, saya tak tengok. Sejujurnya saya memang tidak fikir mengenai kelompok enam terbaik atau tiga terbaik, saya hanya menikmati persembahan saya, gembira dan senyum, itu saja.

“Terima kasih terhadap sokongan dan doa (peminat), sebab doa itu sangat membantu saya dan saya harap anda semua gembira dengan persembahan saya,” kata Dhabitah lagi.

Pingat emas acara tersebut dimenangi juara bertahan dari China, Shi Tingmao yang mengumpul 383.50 mata manakala rakan senegaranya, Wang Han meraih perak setelah mengutip 348.75 mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.