‘Saya malu dan rasa bersalah bila tengok balik lakonan sendiri, benda tu macam bodoh’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain yang menjadi sasaran kecaman penyokong bolasepak tanah air pada minggu lalu susulan lakonan yang membolehkan pasukannya PJ City FC memenangi penalti ketika menentang Melaka United, Ahmad Khairil Anuar Zamri mengakui malu dan rasa bersalah dengan tindakannya itu.

Ketika kedudukan di Stadium Hang Jebat terikat 1-1 dan memasuki 10 minit terakhir pada Sabtu lalu, Ahmad Khairil Anuar menerima umpanan dari rakan sepasukan di dalam kotak penalti dan kemudiannya melakukan diving (menjatuhkan diri) ketika S.Kumaahran cuba merampas bola dari kakinya.

Pengadil perlawanan Fairuzi Md Desa tertipu dengan lakonan level Oscar tersebut lantas memberikan sepakan penalti kontroversi apatah lagi Ahmad Khairil Anuar atau dikenali sebagai Beto kemudiannya berguling memegang kaki seolah telah dikasari.

Disebabkan insiden itu, Fairuzi telahpun digantung selama dua minggu oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan akan dihantar untuk mengikuti program penambahbaikkan prestasi sebelum boleh kembali bertugas bermula dari divisyen bawah.

Manakala Ahmad Khairil Anuar pula, dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib berdasarkan bukti rakaman video.

Ia jelas membuatkan bekas pemain Perak FC dan skuad B-22 kebangsaan itu kesal dan dia meminta maaf kepada semua atas tindakan yang dia sendiri sifatkan sebagai tindakan bodoh itu.

“Dalam bola sepak, tindakan seperti itu umpama tiada semangat kesukanan. Insya-Allah saya akan lebih belajar daripada kesilapan ini.

“Kalau saya sendiri tengok rakaman (insiden) pun malu, apatah lagi orang lain. Benda itu macam bodoh.

“Cuma saya sudah sematkan dalam fikiran, sekalipun saya jatuh betul selepas ini, sukar untuk pengadil berikan (sepakan percuma) sebab satu Malaysia sudah tengok. Saya perlu lebih tabah, belajar daripada situ dan fokus ke depan,” ujar pemain itu kepada Astro Arena.

Tindakan tidak professional Ahmad Khairil Anuar pada malam itu turut menyaksikannya dikritik hebat sehingga ada yang menghamburkan kata makian kepada keluarganya selain menyelarnya sebagai hidup dengan duit haram. Baca : Beto diserang dan dikecam hebat gara-gara lakonan untuk mendapatkan penalti

“Saya tidak setuju apabila keluarga dikaitkan dan orang tuduh saya makan duit haram. Saya boleh terima makian dan kritikan tetapi jangan libatkan keluarga,” tambahnya.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.