“Saya Masih Relevan, Masih Boleh Mengegar Walau Sudah 36 Tahun” – Norshahrul Idlan Talaha

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Veteran bukan sebarang veteran. Begitulah boleh disimpulkan tentang bekas penyerang kebangsaan yang kini bersama Melaka United, Norshahrul Idlan Talaha.

Di sebalik bakal berusia 36 tahun pada bulan Jun depan, motivasi dan keyakinan pemain yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut itu tetap berada di tahap tertinggi untuk terus memberikan yang terbaik kepada pasukan.

Pada ketika ramai rakan seangkatannya sudahpun slow down ataupun menggantung but, Norshahrul atau mesra disapa Mat Yo dalam kalangan penyokong berpendapat dirinya masih relevan untuk beraksi.

“Walaupun saya sudah berusia 35 tahun, namun belum terdetik dalam diri untuk bersara memandangkan saya masih menganggap diri saya relevan untuk bermain. Sekiranya khidmat saya masih diperlukan oleh Melaka atau mana-mana pasukan yang lain saya akan tetap akan bermain. Bagaimanapun, saya hanya merancang ALLAH yang tentukan,” ujar Norshahrul kepada Sukan Sinar.

Norshahrul yang pernah menjadi fenomena bolasepak tanah air suatu masa dahulu bolehlah dikatakan sebagai nomad bolasepak di mana dalam tempoh 10 tahun terakhir dia telah menyarung jersi lapan pasukan berbeza.

Pasukan-pasukan yang diwakilinya dalam tempoh tersebut termasuklah Kelantan, Johor Darul Takzim, ATM, Terengganu FC, Felda United, Pahang, BG Pathum (Liga Thai) dan Sarawak United pada musim lalu.

Dia diumumkan sebagai pemain baru Melaka United pada minggu lalu dan bakal membentuk gandingan mantap bersama dua penyerang import Ifedayo Olusegun serta Sony Norde.

“Jika diberi peluang sudah tentu saya akan bagi yang terbaik buat pasukan. Apa yang penting kami adalah satu pasukan dan mempunyai satu misi dan matlamat iaitu memberi kemenangan dan kejuaraan kepada pasukan. Saya juga mempunyai sasaran sendiri iaitu mahu membantu Melaka United menjulang sekurang-kurangnya satu piala bagi musim ini,” kata pemain berasal dari Besut itu.

Bersama pasukan kebangsaan, Norshahrul pernah menjulang Pestabola Merdeka 2007, pingat emas Sukan Sea 2009, juara Piala AFF Suzuki 2010 serta dua kali naib juara Piala AFF Suzuki pada 2014 dan 2018.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.