Kedudukan Stanley Bernard Samuel sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KL City antara yang sedang hangat diperkatakan berikutan dakwaan ada cubaan untuk menyingkirkan beliau dari jawatan tersebut.
Stanley yang menjadi tunjang KL City memenangi Piala Malaysia selepas 32 tahun pada 2021, difahamkan sedia berundur gara-gara terpaksa akur kepada tekanan politik.
Secara mudahnya begini, boss KL City adalah orang politik, mereka mahu usir Stanley dan melantik individu yang mereka mahukan di jawatan tersebut. Selagi Stanley tak nak berundur, selagi itu penaja pun tak nak hulur duit.
Ditanya kepada Stanley jika benar dia akan angkat kaki, dia tidak menjawab secara direct tetapi dari kenyataannya, dia seolah bersedia untuk berundur demi kebaikan pasukan yang disayanginya.
“Apabila seseorang ketua pegawai eksekutif ini tidak terlibat dengan orang politik, itulah maknanya penswastaan kelab bola sepak sebenarnya.
“Itulah sebab perlunya penswastaan kelab yang akan jadi bullet proof politics sebab sebarang perubahan landskap politik tidak akan menjejaskan operasi kelab, sekiranya itu berlaku di KL City, ia sesuatu yang bagus.
“Namun pada masa sama saya akui kelab juga memerlukan kerjasama erat dan sokongan berterusan dalam kalangan orang politik dalam aspek penajaan dan dana bagi memastikan kesinambungan sejarah dan legasi kelab pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mengenai tunggakan gaji KL City yang difahamkan sudah lebih dua bulan, Stanley berkata ini bukanlah kali pertama perkara ini berlaku, mereka sudah pernah menghadapinya ketika Piala Malaysia tahun lalu, cuma ia tidak kecoh seperti sekarang.
“Yang bagusnya apabila berdepan situasi sebegini, KL City sudah ada jawapan untuk barisan kejurulatihan dan pemain malah mereka tahu duit itu ada tetapi di luar sana serta boleh diselesaikan.
“Minggu ini kita akan bayar apa yang patut dibayar dan saya beri jaminan perkara ini akan diselesaikan sebelum KL City berdepan JDT dalam perlawanan Liga Super,” tambahnya.
Beliau juga memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh barisan pemain dan kejurulatihan bagi mengharungi situasi sukar ini.
“Barisan kejurulatihan dan para pemain bersatu hati mengwujudkan keharmonian dalam bilik persalinan, inilah yang mengekalkan tahap disiplin dan tumpuan pasukan kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M).
“Culture dalam KL City ini cukup amat berbeza jika dibandingkan situasi saya ketika betmain dengan pasukan lain yang tidak membayar gaji sampai enam bulan sebelum ini.
“Komunikasi antara pengurusan dengan para jurulatih dan pemain sentiasa telus, kerana dalam kalangan kami sentiasa bersama,” katanya.