“Saya Mat Don Sudah Siap Sedia, Sudahkah Anda?” – Liridon Krasniqi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bintang naturalisasi negara, Liridon Krasniqi nampaknya sudah tidak sabar memulakan episod baru kariernya di Liga India.

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai Odisha FC secara pinjaman dari Johor Darul Takzim dan kelihatan bersemangat tinggi mahu membantu pasukan itu untuk mengharungi saingan musim baru yang dijadual bermula November.

“Hari ini adalah permulaan baharu. Saya ingin bersyukur kepada Tuhan yang memberi kesihatan yang baik dan memberi peluang buat saya mencuba dengan perkara baru.

“Saya doakan peminat di luar sana turut ceria. Odisha FC, saya Mat Don sudah bersiap sedia mengharungi liga India, sudahkah anda? Saya tidak pernah berputus asa untuk mencapai impian,” katanya dipetik dari Arena Metro.

Odisha FC pada musim 2020/2021 telah menamatkan saingan Liga Super India di kedudukan tercorot daripada 11 pasukan bertanding dan menyasarkan musim lebih baik kali ini.

Liridon Krasniqi pula sebelum ini telah dipinjamkan ke kelab Liga Australia, Newcastle Jets di mana dia membuat sembilan penampilan sepanjang enam bulan beraksi dengan kelab itu.

Bekas pemain Kedah itu tidak dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan kali ini tatkala Tan Cheng Hoe hanya menyenaraikan seorang pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula bagi menerajui jentera serangan.

Cheng Hoe mengekalkan 12 pemain dari skuad pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu selain menyenaraikan enam pemain baru dan enam muka lama.

Skuad Harimau Malaya akan mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan pada 6 Oktober disusuli Uzbekistan pada 9 November.

Cheng Hoe menggunakan kalendar antarabangsa kali ini untuk mencari gandingan terbaik bagi mengharungi Piala AFF yang dijadual berlangsung pada Disember.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.