Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim diketahui pernah membimbing ramai pemain-pemain bertaraf dunia ketika berkhidmat dengan pasukan pembangunan Bayern Munich suatu masa dulu.
Malah itu adalah faktor kenapa Lim Teong Kim berani untuk meminta bayaran tinggi kepada mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya, termasuklah Johor Darul Takzim.
Malah, bekas pemain kebangsaan itu juga menganggap saranan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT) supaya dia datang bekerja di Malaysia dengan bayaran sekitar RM30,000 sebagai tidak masuk akal dan satu penghinaan kepada ilmu bolasepaknya memandangkan pengalamannya bekerja bersama Bayern Munich adalah terlalu mahal.
Ketika ditanya secara sinis oleh salah seorang penyokong kenapa beliau masih menganggur dan tidak diambil bekerja oleh kelab Eropah walaupun mempunyai pengalaman yang cukup hebat, ini jawapan Lim Teong Kim.
“Saya menganggur atau tidak, itu bukan masalah kamu. Pastikan kamu ada kerja dan tiap-tiap bulan ada gaji. Jangan jaga tepi kain orang. Jangan pula kamu tak ada pendapatan, susah nanti bagi kamu. Saya tidak payah kerja pun tidak mengapa,” ujarnya.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) February 23, 2022
Lim Teong Kim yang berkhidmat dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) selama enam tahun dari 2013 – 2018 sebelum ini tampil dengan komen pedas selepas pasukan muda negara diaibkan di Piala AFF B-23 oleh Laos.
Menurut Lim Teong Kim, pemain-pemain tidak boleh disalahkan kerana sistem pembangunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak betul dan tidak menyediakan satu platform untuk pemain muda berkembang.
“Saya sudah banyak kali berkata bahawa jikalau FAM/MFL tidak membuat tanggungjawab mereka untuk mengadakan liga-liga remaja untuk pemain-pemain remaja Malaysia, jangan harap bolasepak Malaysia akan maju.
“Pembangunan seseorang pemain mesti melalui proses pembangunan remaja yang sistematik supaya mereka belajar, berlatih dan memahami untuk menguatkan mental, physical conditioning, pemahaman taktikal dan keupayaan teknikal mereka supaya boleh bersaing di peringkat antarabangsa dan ini tidak ada di Malaysia.
“Situasi bolasepak kita tidak memberi pemain-pemain remaja untuk maju. Jadi kita tidak boleh menyalahkan mereka. Yang salah adalah FAM/MFL. Mereka yang seharusnya menyediakan dan melengkapkan landasan-landasan untuk pembangunan bolasepak di Malaysia.
“Perubahan itu adalah seperti penganjuran liga-liga remaja, pemain import tiga pemain sahaja untuk Liga Super dan Premier. Pasukan kedua Liga Super (feeder team) yang bermain di Liga Premier tidak boleh ada pemain import.
“Pemain-pemain yang bermain lawan Laos tidak boleh disalahkan kerana proses pembangunan bolasepak FAM tiada sistem. FAM perlu pemimpin yang mempunyai kualiti kepimpinan bukan seorang seperti badut,” ujar Lim Teong Kim.