Kelab Liga Thailand, Police Tero FC mengumumkan pemain sayap kebangsaan Mohamadou Sumareh akan menyarung jersi pasukan itu bagi saingan musim baru yang bermula 12 September ini, dengan memakai jersi nombor 13.
Kelab itu turut memuatnaik ucapan ringkas pemain itu di laman sosial rasmi mereka dengan Sumareh mengatakan, “Kepada semua penyokong Police Tero, saya Mohamadou Sumareh, jumpa anda nanti di Bangkok.”
Pemain kelahiran Gambia itu berkemungkinan akan terlepas aksi pertama Toyota Thai League menentang Port FC pada Ahad ini, kerana perlu terlebih dahulu menjalani kuarantin.
Baca : Sumareh didaftar Terengganu pada 2012, tetapi disingkir kerana tidak cukup bagus
Sebagai rekod, Sumareh menyertai Police Tero dengan membatalkan kontraknya bersama Pahang susulan tidak menerima gaji lebih dari sebulan, mengaktifkan klausa 8.7 yang termaktub di dalam kontraknya.
Dia sebelum itu tidak hadir latihan selama lebih sebulan sepanjang bulan Ogos dan tindakannya itu mencetuskan kontroversi, malah dilabel tidak professional.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) tidak mahu berdiam diri dan bertegas akan mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.
“Kenapa rakan-rakannya boleh berbincang secara profesional dengan pengurusan, jurulatih dan pihak tertinggi PBNP. Kami boleh selesaikan perkara ini.
“Ada juga pemain pasukan lain yang sekarang ini tidak mendapat gaji sampai 4-5 bulan, tetapi mereka masih boleh bertahan dan mengadakan perbincangan yang baik dengan pengurusan.
“Tetapi daripada segi hak perundangan, dia tidak mengikut lunas undang-undang sebenar. Oleh itu, PBNP pada hari ini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sumareh kerana dia masih berkontrak dan sudah melanggar syarat kontrak.
“Pahang mempunyai tempoh 10 hari untuk memprotes perpindahannya ke Police Tero FC membabitkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC),” kata pengurus pasukan, Datuk Suffian Awang.
Berdasarkan peraturan perpindahan pemain yang ditetapkan FIFA edisi Jun lalu termasuk perubahan berkaitan isu COVID-19, sebarang perpindahan pemain masih memerlukan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) selain seseorang pemain itu hanya dibenarkan didaftarkan untuk sebuah kelab sahaja dalam satu masa.