“Saya mungkin dikenali, tapi kalau tiada minit permainan ia tidak berguna”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada guna ada nama dan dikenali dalam kancah Liga Malaysia jika tiada minit permainan, kerana pada akhirnya itulah yang menjamin kelangsungan karier.

Demikian reaksi Zamir Selamat mengenai keputusannya meninggalkan KL City dan berhijrah ke Uitm FC ketika jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan lalu.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu melalui pengalaman perit dua tahun lalu apabila terpaksa memilih haluan ke saingan Liga M3 bersama Batu Dua FC berikutan banyak memanaskan bangku simpanan semasa di Melaka United.

Musim ini dia bersama KL City, namun sekali lagi peluang beraksi adalah terhad justeru tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ sehingga mungkin menyebabkan kariernya terjejas, dia memilih Uitm FC dan berharap akan mendapat lebih banyak minit permainan.

Tidak menyalahkan KL City terhadap apa yang terjadi sambil memuji penjaga gol import, Kevin Mendoza, yang berada di tahap terbaik dan memberi sumbangan besar kepada pasukan, Zamir membuat keputusan itu kerana enggan mengambil risiko menunggu peluang untuk diturunkan.

“Saya sudah lalui pengalaman sebegini iaitu pada antara tahun 2018, di mana karier saya terumbang-ambing apabila kurang minit bermain dan orang tidak nampak saya semasa di sana.

“Mujur tindakan yang saya buat pada masa itu betul dan sekali lagi, situasi sama terjadi kali ini dan pengalaman yang lepas telah mengajar saya dalam membuat keputusan sebegini.

“Biarpun mungkin ramai mengenali saya dan tidak dinafikan itu beri sedikit kelebihan namun jika tidak ada banyak minit permainan, semua itu tidak berguna dan ini antara perkara yang sering kali dikejar dalam tiap musim demi kelangsungan karier.

“Umur penjaga gol seperti saya sepatutnya sudah mampu kekal di sesuatu tempat dengan agak lama serta peluang bermain yang lebih banyak, saya harap keputusan saya kali ini tepat,” katanya.

Zamir Selamat boleh dikatakan nama yang bukanlah asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, dia antara produk awal skuad Harimau Muda pada tahun 2008 selain pernah membarisi skuad B-23 tahun negara.

Dia juga pernah beraksi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), PKNS, Perak, Melaka dan Pulau Pinang selama sembilan tahun pembabitannya di Liga Malaysia.

Sementara itu, Zamir mengakui tidak kisah dengan situasi terkini UiTM yang menduduki tangga terakhir Liga Super, sebaliknya ada sebab tersendiri memilih ’The Lion Troops’.

Malah, dia sudah dapat menghidu keyakinan yang semakin meningkat di UiTM selepas kehadiran beberapa pemain import terbaharu seperti Joel Vinicius, Dennis Buschening, Kwon Yong-Hyun dan Ousmane Fane selain dua pemain tempatan, Alif Samsudin dan Hisyamudin Sha’ari.

“Sebaik pintu perpindahan kedua pemain dibuka, ada beberapa pasukan yang mahukan khidmat saya namun UiTM menunjukkan kesungguhan kerana saya rasa boleh mendapat peluang untuk bermain.

“Situasi itu membuatkan saya memilih UiTM, biarpun semua orang tahu UiTM kini berada di paling bawah sekali tetapi saya rasa boleh membantu kepada pasukan.

“Sembilan perlawanan yang akan datang sememangnya kritikal kepada kami tetapi percaya UiTM mampu bangkit daripada situasi sekarang kerana banyak yang telah berubah.

“Masa saya datang mula-mula, kebanyakan pemain di sini baharu ada setahun atau dua bermain di peringkat tertinggi dan sememangnya kehadiran pemain berpengalaman diperlukan bagi membantu mereka.

“Elemen semangat dan memperbaiki sistem di dalam pasukan, menjadikan pemain berpengalaman sebenarnya penting kepada mana-mana pasukan dalam harungi saingan Liga Super, ” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.