‘Saya pengurus, saya yang tentukan Griezmann main kat mana’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengurus Barcelona Ronald Koeman nampaknya kurang senang dengan rungutan Antoine Griezmann mengenai perubahan posisinya.

Penyerang Perancis itu diletakkan bermain di sayap kanan sejak Koeman mengambil alih pasukan sedangkan dia lebih efektif sebagai penyerang tengah ataupun penyerang sokongan (posisi no.10).

Malah baru-baru ini Griezmann seperti menyindir Koeman apabila memberitahu bahawa pengurus Perancis Didier Deschamps lebih tahu posisi apa yang sesuai untuknya selepas menjaringkan gol membantu Perancis mengatasi Croatia 2-1.

Malah, Deschamps sendiri mempersoalkan kewajaran Koeman meletakkan penjaring terbanyak Euro 2016 itu di posisi sayap sehingga menyebabkan dia tidak dapat menyerlahkan prestasi terbaiknya.

Namun Koeman tidak bersedia untuk melayan keluhan dan menyifatkan mana-mana pemain harus memberikan yang terbaik apabila diturunkan.

“Siapapun berhak mengatakan apa yang mereka mahukan, tetapi seorang jurulatih adalah pembuat keputusan dan untuk pasukan ini ianya saya yang buat keputusan, menjadi tanggungjawab pemain memberi yang terbaik apabila diturunkan tanpa memberi alasan.

“Saya ada bercakap dengannya bahawa saya sedang mencari yang terbaik untuk pasukan dan saya rasa dia lebih efektif di bahagian kanan untuk kami,” kata Koeman.

Tambah pengendali dari Belanda itu, “Dia boleh bermain di tiga posisi, saya tahu dia juga dapat bermain sebagai nombor 10 atau sembilan, tetapi pada akhirnya saya memutuskan untuk kebaikan pasukan dan mesti memanfaatkan pemain secara maksimum.

“Ketika saya menjadi jurulatih Belanda dan kami bermain menentang Perancis, dia bermain di sebelah kanan, sama seperti sekarang di Barcelona, jadi tiada isu dan ini tidak perlu diperdebatkan lagi.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan Antoine, saya hanya boleh turunkan seorang pemain di setiap posisi dan saya tidak pernah meletakkan siapa pun dalam posisi yang mereka tidak boleh main.

“Jika ada posisi lain yang dia suka, takkan saya nak letakkan 10 pemain di posisi yang sama dan memberi kesemua mereka peranan sama.”

Griezmann yang menyertai Barcelona dari Atletico Madrid dengan perpindahan bonanza bernilai £108 juta pada musim lalu, menjaringkan 9 gol dalam saingan 2019/2020 tetapi untuk musim ini belum meledak sebarang jaringan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.