Sathianathan

“Saya Pernah Kerja Dengan 7 Jurulatih Import, Saya Tahu Mereka Perlukan Penolong Jurulatih Tempatan” – Sathianathan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan berpendapat jurulatih baru Harimau Malaya, Kim Pan-gon memerlukan seorang penolong jurulatih tempatan bagi memudahkan kerjanya membentuk sebuah skuad mantap untuk mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia pada bulan Jun depan.

Menurutnya, walaupun Pan-gon membawa bersama empat pembantunya termasuk penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan dan juruanalisis, tempoh masa yang singkat dan kekurangan pengetahuan mengenai bola sepak Malaysia akan menjadi antara halangan besar yang perlu ditempuhi pengendali dari Korea Selatan itu.

“Bagi memudahkan dia (Pan Gon), dia mesti ada seorang penolong jurulatih tempatan yang berkelayakan. Seorang yang ada sijil tinggi dan ada pengalaman mendalam serta boleh memberi gambaran yang sebetulnya mengenai pemain, budaya, cara permainan dan latar belakang pemain.

“Jika tidak, dia (Pan Gon) perlu ambil masa lebih lama. Dulu masa Karl-Heinz Weigang, dia berjaya pergi ke Olimpik sebab bantuan dari penolong jurulatih tempatan.

“Walaupun dia (Weigang) ada bawa jurulatih kecergasan dari Jerman, tapi banyak bergantung kepada jurulatih tempatan yang mana ramai orang tidak tahu. Datuk Mohamad Bakar juga ada bantu Weigang.

“Saya sudah bekerja dengan tujuh jurulatih import, saya tahu kalau mereka buat andaian sendiri akan ambil masa. Saya fikir FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) pun akan tegaskan benda ini, FAM mungkin ada perancangan untuk letak seorang jurulatih tempatan,” katanya kepada BH Sukan.

Apa yang diperkatakan oleh Sathianathan dipersetujui oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkata adanya jurulatih tempatan sebagai pembantu Pan gon akan menyelesaikan beberapa isu berbangkit.

Beliau berkata FAM memang merancang untuk melantik seorang jurulatih tempatan kerana mengakui kepakaran jurulatih import juga akan memainkan peranan yang cukup penting.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin ABu Bakar berkata terdapat 10 nama yang sedang diteliti dan dinilai oleh Pengarah Teknikal, Scott O’Donell untuk mengisi jawatan tersebut dengan reputasi kesemuanya bukan calang-calang.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.