Pengendali skuad kebangsaan Kim Pan-gon memahami akan timbul reaksi yang pelbagai dalam kalangan penyokong mengenai senarai 30 pemain yang dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan antarabangsa bulan ini.
Rata-rata penyokong kecewa nama-nama diharap akan disisihkan masih dipanggil, dan begitu juga sebaliknya nama-nama yang diharap akan dipanggil pula tetap tidak berjaya memikat hatinya.
Namun dia berharap penyokong memberikan ruang dan masa, serta sokongan kepadanya untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap selain memberitahu bahawa pemilihan pemain dibuat selepas menilai pelbagai aspek.
“Apabila saya memilih pemain, ia adalah sebab taktikal, teknikal dan sikap profesional. Harap semua memahami kerana saya tidak boleh memilih seperti 15 atau 16 pemain yang anda mahu.
“Kami cuba yang terbaik untuk memilih pemain yang sesuai. Saya pun tidak boleh katakan saya 100 peratus betul, kerana saya masih baru.
“Jadi, kami akan cuba yang terbaik untuk melakukan lebih pemantauan. Saya memilih pemain untuk menang, saya bukan memilih pemain untuk kalah.
“Mungkin selepas ini kami akan lebih mengenali pemain. Jadi pemain ini yang kami rasakan sesuai buat masa ini, untuk masa depan kita tidak tahu lagi,” jelas Kim Pan-gon kepada pemberita selepas mengumumkan senarai 30 pemain harimau malaya di Wisma FAM.
Dalam senarai yang diumumkan Kim Pan-gon pada Khamis, 14 pemain Johor Darul Takzim mendominasi call-up dengan beberapa pemain yang tidak dipanggil ketika Piala AFF tahun lepas kembali termasuklah Farizal Marlias, La’vere Corbin Ong, Nazmi Faiz dan Mohamadou Sumareh.
Turut kembali adalah bekas kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan pada 2018 serta pemain naturalisasi Liridon Krasniqi.
Seorang lagi pemain naturalisasi, Guilherme De Paula yang tidak pernah sekalipun digugurkan Tan Cheng Hoe sejak membuat penampilan sulung pada Jun tahun lalu pula langsung tiada dalam perancangan Kim Pan-gon.