“Saya pulih kerana doa dan semangat daripada Tengku Muda serta pihak pengurusan”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyokong Sri Pahang FC boleh dimaafkan jika mereka sebelum ini sudah lupa tentang adanya penyerang bernama Malik Mat Ariff di dalam pasukan.

Mana tidaknya, sejak diumumkan sebagai rekrut terbaru skuad tok gajah pada Januari, pemain ini hilang begitu sahaja tanpa khabar berita, sehingga ada yang ragu betul ke dia sertai Sri Pahang.

Ditambah pula page media sosial rasmi pasukan Sri Pahang tidak mengemaskini apa-apa aktiviti pasukan termasuk mengenai sesi latihan, tidak dapat dipastikan mengenai status pemain ini sebenarnya didaftarkan atau tidak untuk saingan Liga Malaysia 2021 apatah lagi namanya tidak pernah ada dalam matchday squad sepanjang lapan perlawanan.

Tiba-tiba pada perlawanan kesembilan menentang Johor Darul Takzim pada Jumaat lalu di Stadium Darul Makmur, Malik Mat Ariff masuk sebagai pemain gantian, menggantikan Yevhen Bokhashvili lantas membuatkan barisan serangan nampak lebih hidup.

Malah pengendali pasukan Dollah Salleh juga memuji permainannya meskipun menurutnya Malik hanya sempat berlatih selama beberapa hari sahaja bersama pasukan.

Pemain kelahiran Kuantan ini menjelaskan dia sebenarnya tersisih kerana sakit misteri sebelum musim baru bermula namun menyatakan dirinya bertuah kerana pengurusan Sri Pahang cukup prihatin dengan keadaan dirinya malah telah menjaga kebajikan dengan baik demi membantunya kembali pulih.

Ya, pengurusan sama yang sedang menjadi sasaran kecaman penyokong ketika ini kerana prestasi buruk ditunjukkan dalam kempen Liga Super.

“Sepanjang mengalami penyakit misteri, pengurusan amat mengambil berat untuk memastikan saya kembali sihat dan dapat kembali menyertai pasukan.

“Antara yang memberikan semangat kepada saya termasuklah Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (Tengku Muda) yang juga pemilik Sri Pahang FC, CEO Pasukan (Datuk Suffian Awang), barisan kejurulatihan. Saya percaya dengan kata-kata semangat dan doa mereka, saya pulih dan akan berusaha membalas kepercayaan itu dengan mempamerkan prestasi terbaik dalam baki saingan musim ini.

“Biarpun tahap kecergasan belum mencapai 100 peratus, saya akan bekerja keras untuk berada pada prestasi terbaik dan apabila diberikan peluang bermain, saya akan memberikan segala-galanya. Saya juga mempunyai tempoh lima hari untuk tampil cergas sebelum bertemu Penang FC Sabtu ini,” kata Malik Mat Ariff yang juga penjaring terbanyak tempatan Liga Premier 2016 dan 2017.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.