“Saya Rasa Cukup Kerdil, Tak Pernah Anggap Diri Ini Terbaik” – Safiq Rahim

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah Johor Darul Takzim yang juga bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim menzahirkan penghargaan yang cukup tinggi kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk dia kembali menyarung jersi pasukan itu musim ini.

Safiq Rahim bermain dengan JDT dari tahun 2013 hingga 2018 sebelum berhijrah ke pasukan Melaka United selama dua musim.

Namun dia membuat ‘comeback’ sensasi ke JDT dan membuktikan dia datang bukan sekadar sebagai pelengkap skuad sebaliknya menjadi antara tunjang utama skuad yang menjuarai Liga Super kali kelapan berturut-turut.

“Saya agak kerdil bila kembali ke sini. Saya sentiasa rasa saya belum cukup yang terbaik. Jadi, Insya-Allah kalau saya masih lagi diberi kepercayaan dan peluang, saya akan balas balik dengan persembahan.

“Bukan mudah bagi saya sebagai pemain untuk berada dalam pasukan ini. Perancangan saya akan habis di sini, saya akan tamatkan karier saya sebagai pemain bola sepak di pasukan JDT,” katanya dalam rancangan [email protected] baru-baru ini.

Sepanjang bersama JDT, Safiq Rahim menjulang trofi Liga Super sebanyak enam kali selain menjadi tunjang pasukan itu mencipta sejarah menjulang Piala AFC pada 2015. Dia juga memenangi Piala FA pada 2016 dan Piala Malaysia pada 2017.

Malah pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah melabel Safiq Rahim sebagai pemain dan juga kapten terbaik dalam sejarah pasukan itu.

Baca : 15 Tahun Main Bola, Hanya JDT Yang Buat Perubahan – Safiq Rahim

Sementara itu, Safiq Rahim turut mendedahkan bahawa dia pernah didenda oleh harimau selatan kerana kesalahan lewat menghadiri latihan.

Pemain berusia 34 tahun itu bagaimanapun memberitahu hukuman yang dikenakan memberi pengajaran kepada pemain mengenai kepentingan disiplin sebagai pemain profesional.

“Saya pernah kena (hukuman dari JDT). Tapi ia bagi pengalaman dan kalau saya tak kena macam itu dulu mungkin saya tak belajar sesuatu yang lebih baik.

“Jadi kita boleh kongsi kepada pemain lain terutama pemain muda yang benda macam ini wajib ditekankan. Latihan, menepati masa dan segala-galanya berkaitan berdisplin sebab bola sepak bukan hanya nak main bola sepak,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail memberitahu pemain atau jurulatih terikat dengan polisi dan etika kerja kelab yang mana mereka akan didenda RM15,000 jika lewat hadir latihan dan RM40,000 sekiranya menyalahgunakan media sosial.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.