“Saya sentiasa ada jika diperlukan” – Junior Eldstal

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain berdarah kacukan, Junior Eldstal bersedia mempertaruhkan pengalaman luasnya untuk membantu Harimau Malaya mencipta kejutan dalam baki tiga aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Junior Eldstal yang kembali dalam skuad kebangsaan buat kali pertama selepas beberapa tahun tersisih pernah bermain di England, selain membantu Johor Darul Takzim menjulang Piala AFC 2015.

Dengan ketiadaan Shahrul Saad di benteng pertahanan kerana kecederaan, dia dilihat antara calon sesuai untuk digandingkan dengan Aidil Zafuan di jantung pertahanan, selain Dominic Tan dan Irfan Zakaria.

“Apa yang penting, saya bagi 100 peratus dalam latihan dan dalam perlawanan. Bermain dengan hati untuk negara saya. Tapi itu pilihan jurulatih, kalau dia mahu memang saya ada,” ujar pemain defensive midfield yang kini bermain dengan kelab Thailand, Chonburi itu.

Bekas anggota skuad B-23 kebangsaan itu mengakui dia sendiri sedikit dibebani tekanan kerana harapan tinggi yang diletakkan tetapi menurutnya perkara yang penting adalah kebijaksanaan mengatasi tekanan.

“Dalam bola sepak memang ada tekanan lebih-lebih lagi tahap seperti antarabangsa ini memang tinggi dan selepas tak bermain agak lama untuk Malaysia (kali terakhir 2018) sudah tentu akan ada tekanan, tapi kita kena tahu cara menanganinya.

“Saya sekarang orang cakap dah tua dah sampai 30 tahun, tapi buat saya pengalaman adalah bekalan terbaik. Pengalaman bermain untuk JDT, main untuk Sarawak dan sekarang kelab Thailand. Saya akan gunakan pengalaman ini untuk bawa Malaysia mencipta sejarah,” katanya.

Junior Eldstal yang menjaringkan gol dalam aksi final Pestabola Merdeka 2013 turut menekankan bahawa Harimau Malaya tidak seharusnya gentar berdepan negara arab dan berpendapat ia bagus untuk semua pemain mencabar diri sendiri.

“Kami sampai UAE awal, jadi kami boleh menyesuaikan diri dengan cuaca dan semuanya. Kami boleh persiapkan pasukan, dan melakukan apa yang kami perlu lakukan.

“Jangan takut sangat sebab tengok ranking Bahrain. Kita kena fokus kepada diri sendiri dan percaya kebolehan dan kemampuan kita di atas padang.

“Dia (Cheng Hoe) memaklumkan jangan takut dengan pasukan lain walaupun kita akan menentang pasukan seperti Bahrain dan UAE. Kita juga boleh menyerang mereka,” kata Junior Eldstal pada sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.