“Saya Tahu Ramai Pertikai Pemilihan Saya, Tapi Tolong Percaya Pada Saya” – Syamer Kutty

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah, Syamer Kutty Abba mengakui dia sedar betapa pemilihannya untuk membarisi skuad Harimau Malaya menjadi pertikaian dalam kalangan penyokong bolasepak tanah air.

Pemain Johor Darul Takzim itu termasuk dalam kategori pemain yang tiada minit permainan tetapi dipanggil atas faktor pengalaman antarabangsa yang merupakan salah satu kriteria dinilai oleh Kim Pan-gon.

Syamer Kutty tidak membuat banyak penampilan pada musim lalu kerana dibelenggu kecederaan, dan pada tahun ini baru bermain satu perlawanan dalam Liga Super, itupun sebagai pemain gantian.

Jadi tidak hairanlah pemilihannya dipersoalkan namun pemain berasal dari Pulau Pinang ini tekad membuktikan ia bukan satu kesilapan dan mahu memenangi hati penyokong dengan menampilkan prestasi terbaik jika diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Filipina, Singapura dan Albirex Niigata bulan ini.

“Ia sentiasa menjadi penghormatan untuk menyarung jersi kebangsaan dan saya berharap dapat memikat perhatian barisan kejurulatihan untuk memenangi tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya sedar ada segelintir peminat mempersoalkan pemilihan saya di dalam skuad tetapi saya boleh memberi jaminan bahawa saya sudah bekerja keras untuk membalas kepercayaan mereka kepada saya,” kata Syamer Kutty yang pernah dipinjamkan ke kelab Portugal, Villaverdense pada 2018 kepada The Star.

Syamer Kutty yang memiliki 22 kaps dan kali terakhir mewakili negara di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun tahun lalu, perlu bersaing untuk mengisi posisi tengah pasukan bersama-sama Safiq Rahim, Nor Azam Azih dan Liridon Krasniqi tatkala beberapa pemain tengah telah digugurkan Kim Pan gon antaranya Nathaniel Shin Hong Wan dan Nazmi Faiz Mansor.

“Memang persaingan cukup sengit untuk memenangi tempat, tapi saya akan terus bekerja keras, kami harap dapat tunjukkan peningkatan dalam permainan di Singapura nanti, dan selepas itu meneruskan momentum di saingan kelayakan Piala Asia 2023,” katanya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.