‘Saya tak boleh tutup mulut orang’, reaksi Yusri Che Lah selepas pasukannya tewas kali ketiga

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah tidak kisah dengan tanggapan bahawa pasukan bimbingannya itu adalah lubuk tiga mata dalam saingan Liga Premier, setelah dihadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam tempoh kurang seminggu.

Skuad Projek FAM-MSN yang dibarisi pemain-pemain muda rata-ratanya masih lagi ‘budak sekolah’ tewas 2-4 kepada Selangor II pada Jumaat, dan mereka sebelum ini tewas 1-2 kepada Kelantan FC serta 0-4 kepada Terengganu FC II lantas mengukuhkan tanggapan bahawa Liga Premier bukan platform sesuai untuk pasukan itu menimba pengalaman.

Tetapi ini pula reaksi balas Yusri Che Lah yang berharap orang ramai memahami matlamat sebenar penubuhan pasukan projek FAM-MSN.

“Saya tak boleh tutup mulut orang, kepada yang berkata (perkara negatif), saya ucapkan terima kasih, kurang-kurang kami dapat pahala free,” ujarnya secara berseloroh.

Tambah bekas jurulatih Kelantan FC itu, “Kita tak ingin wujudkan sebuah pasukan yang kuat, tapi yang penting adalah matlamat asal kami. Objektif pemain bawah 18 dan 19, kalau takde pasukan ini takde peluang untuk mereka beraksi.

“Skuad ini ditubuhkan juga untuk beri peluang kepada skuad B-19 yang akan beraksi di Sukan SEA, seandainya team seperti ini tidak ada bagaimanakah pemain yang akan mewakili negara di Sukan SEA nanti (akan beroleh pendedahan dan minit permainan).

“Sekurang-kurangnya di sini ada satu platform untuk mereka, dalam masa sama boleh menilai jika ada pemain-pemain yang berpotensi untuk diserap ke dalam skuad Sukan SEA. Bagi saya, hari ini mereka mungkin bukan sesiapa, tetapi biar 3 atau 4 tahun akan datang ada permata yang menyinari bolasepak tempatan, datangnya dari pasukan ini.

“Saya mohon peminat, daripada berkata perkara negatif lebih baik mendoakan pemain-pemain ini berjaya, kerana setiap pemain yang bagus dan hebat mesti pernah mengalami situasi seperti pemain-pemain muda ini. Saya berharap pasukan ini akan terus bertambah baik dan terus menunjukkan peningkatan.”

Mengenai kekalahan kepada Selangor II, Yusri mengagumi semangat juang barisan pemainnya yang cuba bangkit memberi tentangan apatah lagi dia beberapa pemain diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama.

Dalam aksi tersebut, George Attram menjaringkan hatrik buat Selangor II manakala satu lagi jaringan oleh Saiful Iskandar Adha sementara gol bagi skuad Projek FAM-MSN dijaringkan oleh Ismat Imran Zainal dan Azhad Harraz Azman.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.