Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin akan menjawab beberapa isu pada Jumaat ini termasuk kritikan susulan kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.
Hamidin menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob pada Isnin.
“Saya sebenarnya nak jawab pada Jumaat, nanti semua datang. Saya tak lari, saya ada keluarga, saya baru semalam potong gelang kuarantin. Saya sedia menjawab pada Jumaat. Tapi ada kenyataan yang saya sudah keluarkan (jawab), saya tak akan jawab lagi,” katanya.
Antara beberapa isu yang masih lagi belum berakhir adalah mengenai kegagalan skuad kebangsaan dalam kempen Piala Suzuki AFF 2020 dengan penyokong masih menunggu keputusan bedah siasat mengenai kegagalan itu.
Malah, ada juga segelintir penyokong yang mendesak Hamidin meninggalkan kerusi nombor satu badan induk itu sebagai bertanggungjawab atas kegagalan skuad Harimau Malaya.
Perkembangan mengenai pengambilan jurulatih baharu skuad kebangsaan juga masih lagi menjadi persoalan dalam kalangan peminat susulan peletakan jawatan oleh Tan Cheng Hoe, sebelum ini.
Dalam pada itu, Hamidin berkata sumbangan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan memberi nafas baharu kepada industri bola sepak tanah air selepas mengharungi tempoh sukar berikutan pandemik COVID-19.
Menurutnya, badan induk berkenaan berdepan detik sukar termasuk dari aspek kewangan apabila kehilangan beberapa penaja sejak pandemik itu bermula pada 2020.
Katanya, pihaknya menyuarakan perkara itu pada pertemuan kepimpinan FAM dengan Ismail Sabri ketika melakukan kunjungan hormat di Bangunan Parlimen November lalu.
“Jadi itu (sumbangan) memang akan digunakan untuk FAM keseluruhannya dan untuk pasukan kebangsaan. Saya akan bincang dengan EXCO mengenai apa yang perlu dibuat.
“Kita (FAM) pun sebelum ini kehilangan penaja dan kita tengah mencari penaja baharu. Jadi sumbangan ini dapat membantu FAM untuk jalankan apa jua usaha kerana betapa sukarnya kita sejak pada tahun 2020,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri dalam ucapannya mengumumkan kerajaan akan menyumbang sebanyak RM10 juta kepada FAM tahun ini sebagai sokongan untuk pembangunan bola sepak negara.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sumbangan itu adalah tambahan daripada peruntukan yang diluluskan di Parlimen melalui Belanjawan 2022.
“Alhamdulillah. Pengumuman tadi berita baik bukan sahaja kepada FAM tetapi kepada seluruh peminat bola sepak negara ini,” katanya.