Bekas jurulatih Selangor B.Sathianathan menyatakan kesediaan untuk kembali menyumbang khidmat, jika ada pasukan mengemukakan tawaran rasmi kepadanya.
Menurut pengendali berusia 62 tahun itu, beliau tidak pernah berehat panjang sepanjang bergelar jurulatih dengan tempoh paling lama adalah selama 6 bulan pada 2011, itupun kerana digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Baca : Kisah Sathianathan ubah Kelantan sebagai kuasa besar selepas Butler hilangkan diri
“Saya bawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2010, dan kemudian beberapa hari sebelum Liga Super 2011 bermula, saya digantung enam bulan atas kesalahan mempertikai keputusan FAM berhubung pemilihan venue perlawanan antara Terengganu dan Perlis dalam saingan Liga Super. Itu tempoh paling lama,” kata Sathianathan.
Sebagai rekod, sebelum bersama Kelantan, Sathianathan merupakan jurulatih skuad B-23 kebangsaan dari tahun 2006 – 2008, dan kemudiannya dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya sehingga tahun 2009.
Beliau menyertai Kelantan sebelum bermula Piala Malaysia 2009 dan selepas tamat penggantungan, Sathianathan dipancing oleh pasukan berbelanja besar ATM FA dan membawa pasukan itu muncul kelab paling berjaya ketika itu dengan menjuarai Liga Premier 2012 serta layak ke final Piala Malaysia 2012.
Selepas empat musim bersama ATM, Sathianathan kemudiannya membimbing Felda United selama dua musim, sebelum diikat Selangor pada 2019.
Pada musim pertamanya, Sathianathan memacu Selangor menduduki tangga ketiga Liga Super tetapi prestasi hambar pada musim ini menyaksikannya dipecat berkuatkuasa serta-merta pada bulan lalu, sejurus kekalahan mengaibkan 1-6 kepada Johor Darul Takzim dan tempatnya dipangku sementara oleh Michael Feichtenbener.
Baca : Kisah ATM leburkan rekod tanpa kalah 42 perlawanan Kelantan di Kota Bharu
Baca : ‘Pengurusan jangan letak sasaran yang tidak realistik kepada jurulatih’
Sathianathan mengakui ada beberapa pasukan Liga Malaysia dan juga luar negara telah menghubungi untuk merisik khidmatnya namun belum ada tawaran rasmi.
“Kalau ada tawaran rasmi nanti, barulah saya pertimbangkan mana pilihan yang terbaik. Saya perlu lihat visi dan misi pasukan itu juga kerana sudah tentu saya mahukan pasukan yang bercita-cita besar dan ada perancangan yang baik,” katanya kepada BH Sukan.
Foto : NSTP