“Saya turunkan juga import sebab sudah tak ada pilihan, mereka memang perlu ditukar”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang FC terus bergelut untuk mencatat kemenangan tetapi satu mata yang diraih dari perlawanan menentang Terengganu FC pada Selasa tetap membuatkan Dollah Salleh berasa sedikit lega.

Skuad tok gajah hanya menang sekali dalam Liga Super 2021 iaitu ke atas Sabah FC dan hajat mereka mengutip tiga mata dinafikan oleh sepakan penalti disempurnakan Jordan Mintah pada minit ke-79.

Mereka sebelum itu mendahului di babak pertama menerusi jaringan cantik pemain tengah kebangsaan Nor Azam Azih yang melakukan rembatan padu dari luar kotak penalti selepas menggelecek beberapa pertahanan lawan.

“Saya kira kena bersyukur juga dapat satu mata. Tapi, hari kita serba tak menjadilah. Cuma kita berdisiplin dalam bertahan.”

“Dan selepas kita dapat 1 gol, pemain-pemain ni nampak macam takut untuk terima kekalahan. Jadi dengan satu gol tu mereka fikir macam dah cukup untuk mereka bertahan. Itulah sebenarnya yang berlaku hari ini.

“Mungkin nak sangat dengan kemenangan, jadi kita lupa yang kita asyik bertahan sahaja dalam separuh masa kedua khususnya,” ujar Dollah Salleh yang turut kecewa dengan keputusan pengadil menyuruh penalti Terengganu FC yang sudah diselamatkan Zarif Irfan diambil semula.

“Apabila penjaga gol sudah menyelamatkan (sepakan), saya rasa macam satu tekanan untuk kita apabila pengadil membuat keputusan sepakan penalti perlu diambil semula.

“Seolah-olah kemenangan kita hari ini disia-siakan oleh pengadil. Bagi saya, aduan tetap kita akan buat tetapi keputusan muktamad kita kena terimalah.”

Dan sekali lagi Dollah Salleh menekankan keperluan untuk merombak barisan pemain importnya yang tidak berfungsi, terutama di bahagian serangan.

Menurutnya dia tetap terpaksa menurunkan mereka kerana sudah tidak ada pilihan.

“Saya sebenarnya selama dua hari tu kita buat latihan tetapi saya masih lagi tak puas hati juga dengan pemain tempatan yang kita serap.

“Jadi keputusan kita terpaksa juga turunkan import. Pagi tadi (6 April) saya buat meeting dengan semua jurulatih, kita decide sama-sama, kita terpaksa letak juga Yevhen (Bokhashvili) dalam kesebelasan dengan Pedro (Henrique) dalam separuh masa kedua.

“Untuk diri saya sendiri sudah pastilah saya hendak pemain import yang boleh membantu pasukan. Tapi apa sekalipun, pihak pengurusanlah yang boleh memberikan kita lampu hijau.

Mengenai pemain yang mahu ditukar sekiranya pengurusan beri kebenaran, ini jawapan Dollah Salleh.

“Striker lah. Memang tak boleh nak tolak lagi dah, itulah dia. Awak semua nampakkan? Bukan satu game, enam game pun macam gitu.”

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.