Sayang Kedah Sangat-Sangat, Biar Saya Jer Tahu Kenapa Saya Keluar – Baddrol Bakhtiar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas tonggak tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar memberitahu keputusan dibuatnya untuk angkat kaki meninggalkan pasukan itu selepas 16 tahun bersama, bukanlah didorong oleh faktor tawaran lumayan daripada Sabah.

Pemain berusia 33 tahun itu pernah dikaitkan dengan banyak pasukan dalam perjalanan kariernya tapi dia memilih untuk kekal setia dengan Kedah.

Begitupun kali ini spekulasi dia mahu keluar menjadi kenyataan apabila dia diumumkan menyertai Sabah kendalian Dato’ Ong Kim Swee bagi musim baru Liga Malaysia.

Kalau bukan kerana tawaran lumayan, apa sebabnya, tunggakan gaji? Terasa hati dengan penyokong? Saja mahu mencuba sesuatu yang baru dalam karier? Ini nukilan pemain tengah Harimau Malaya itu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pengurusan Kedah FC dan penyokong pasukan Kedah. Terima kasih memberikan kenangan selama 16 tahun bersama.

“Saya akui di awal musim menerima kritikan yang amat hebat sehingga segelintir penyokong mahukan saya keluar dari Kedah. Saya terima kritikan dengan positif dan memberi yang terbaik di setiap perlawanan kerana hasrat di hati saya hanya ingin melihat pasukan Kedah sentiasa berjaya dan di puncak.

“Alhamdulillah Kedah ke AFC (saingan Piala AFC) untuk penutup tahun dan musim ini, tiba masanya untuk saya mengundur diri dan memberi laluan kepada pemain-pemain muda untuk menyambung legasi saya di Kedah walaupun Kedah tetap di hati saya.

“Bukan wang ringgit menjadi ukuran, bukan masalah tunggakan gaji membuatkan saya berpindah pasukan tetapi biarlah saya sahaja yang tahu apa yang terpendam dan terbuku di hati saya yang tak semua orang akan faham.

“Jatuh bangun saya bersama Kedah. Kedah tetap di hati saya, doakan yang terbaik untuk kita semua. Terima kasih Kedah untuk 16 tahun bersama. Terima kasih penyokong, pengurusan pasukan dan rakan seperjuangan di Kedah kerana tanpa anda tiadalah saya,” ujar Baddrol.

Sejak bersama Kedah pada 2005, Baddrol telah membuat hampir 300 penampilan dan menjaringkan 123 gol selain mencipta pelbagai kejayaan gemilang termasuk dinobatkan Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia pada 2017.

Dia menjulang trofi Liga Super dua kali, Piala FA tiga kali dan Piala Malaysia sebanyak empat kali.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.