Sazali pasrah apa jua nasib Liga Malaysia 2020

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Nasib Liga Malaysia 2020 sama ada disambung atau dibatalkan, akan diketahui dalam beberapa hari lagi.

Apa sahaja keputusan diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL)  selepas menerima saranan daripada kerajaan nanti, akan ada kesan baik dan buruk kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dengan industri bola sepak tanah air.

Demikian pandangan jurulatih Negeri Sembilan Sazali Saidun.

“Negeri Sembilan sebagai rakan kongsi akan terima dan patuh apa sahaja yang diputuskan FAM dan MFL berhubung perjalanan Liga Malaysia musim ini.

“Jika diteruskan, saya faham terhadap kepentingan kepada bola sepak tanah air kita dan jika dibatalkan, ia adalah mengambil kira soal keselamatan yang perlu jadi keutamaan.

” Sekarang ini kes COVID-19 semakin menurun dengan banyak kawasan sudah diisytihar zon hijau dan saya rasa perkara ini juga kita kena teliti.

” Cuma yang jadi masalah utamanya sekarang perkara-perkara seperti pergerakan selaku pasukan pelawat mungkin akan jadi cabaran utama selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir yang mungkin dijadikan SOP (Standard Operating Procedure) nanti.

“Jadi memang satu cabaran juga buat FAM dan MFL membuat keputusan tetapi seperti saya katakan, Negeri Sembilan akan mengikuti apa sahaja arahan yang dikeluarkan, ” katanya.

Saingan Liga Malaysia yang baru berlangsung empat perlawanan telah ditangguhkan sejak 16 Mac lalu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telahpun memberi bayangan saingan tidak dapat diteruskan, pada Sabtu lalu dan kini FAM/MFL sedang menanti kata putus rasmi.

Sementara itu, Sazali berkata, penangguhan Liga Malaysia memberi sedikit hikmah kepada pasukannya yang bermula agak perlahan dalam pentas Liga Premier.

Skuad Hobin Jang Hobin itu sekadar menghuni tangga ke-10 Liga Premier ketika ini setelah mencatat hanya satu kemenangan.

“Situasi COVID-19 ini memberikan saya sedikit kelegaan dalam memperbaiki serta mencatur kembali strategi pasukan untuk tempoh akan datang. Jadi saya akan gunakan tempoh yang ada ini bagi mengkaji kelemahan tertentu terutama di bahagian pertahanan yang jadi masalah utama pasukan.

“Mereka banyak melakukan kesilapan mudah serta gagal bertahan dengan baik yang banyak meragut peluang pasukan untuk meraih kemenangan,” katanya.

Negeri Sembilan membuka tirai Liga Premier dengan kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Takzim II; disusuli tewas 1-3 kepada Kuala Lumpur dan 0-3 kepada Kelantan United; sebelum mencatat kemenangan pertama musim ini ke atas UKM FC, 2-0.

Foto : Google

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.