Scott Ollerenshaw bantai Feichtenbeiner kerana cakap besar lepas seri dengan JDT II

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kenyataan ketua jurulatih Selangor II Michael Feichtenbeiner selepas pasukannya mencatat seri tanpa jaringan menentang skuad Johor Darul Takzim II pada Ahad lalu nampaknya tidak disenangi oleh bekas pemain import Sabah FC, Scott Ollerenshaw.

Michael Feichtenbeiner dalam sidang media selepas perlawanan tersebut memuji kejayaan pasukan muda bimbingannya itu mendapatkan satu mata menentang pasukan JDT II yang dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan berprofil tinggi.

Malah dia juga menyatakan rasa terkejut melihat pasukan pembangunan JDT itu menurunkan pemain kebangsaan seperti Daniel Amier Norhisham, Syafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri justeru menganggap keputusan seri itu sebagai keputusan yang wajar dibanggakan.

Tetapi Scott Ollerenshaw yang juga Pengarah Teknikal Sabah FC (bukan Pengarah Teknikal JDT), mempersoal kenapa perlu Michael Feichtenbeiner meninggi diri dengan pencapaian tersebut.

“Tak perlu pun jurulatih Selangor II bercakap besar atau terlalu berbangga kerana sekadar dapat mengikat JDT II yang dibarisi ramai pemain senior. Ini sekadar menunjukkan dia rasa tidak selamat (dengan kedudukannya) memandangkan dia melatih pasukan pembangunan yang mana menyediakan pemain ke dalam skuad utama Selangor adalah lebih penting berbanding keputusan.

“Pemain-pemain senior JDT itu diturunkan untuk meningkatkan kecergasan dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia apabila skuad utama memerlukan mereka. Keputusan tidak penting bagi pasukan JDT II, walaupun keputusan tidak menyebelahi mereka.

“Ada di antara pemain senior di dalam JDT II turut bermain dengan pasukan kebangsaan jadi apabila mereka mendapat minit permainan ia menguntungkan pasukan Harimau Malaya. Mereka mungkin boleh mendapat minit permainan lebih banyak jika bersama pasukan Liga Super yang lain, tetapi di JDT standard mereka adalah lebih tinggi.

“Berada di dalam skuad JDT dan merebut tempat untuk beraksi dengan kemudahan terbaik yang ada di Asia akan menjadikan mereka pemain yang lebih baik. Tiada pemain yang akan berada di zon selesa di dalam kelab sebesar JDT. Hanya satu permainan yang buruk, dan anda akan terus diganti,” kata Ollerenshaw di twitter peribadinya.

Dengan menjadikan dua pemain muda iaitu Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman Hanapi sebagai kejayaan sistem diamalkan di JDT II, Ollerenshaw menekankan bahawa semua pihak pastinya akan bersetuju untuk mengatakan formula mereka telah terbukti berkesan di dalam dan luar padang.

“Selangor II mengambil langkah berbeza (berbanding JDT II), dan hasil akhirnya juga belum jelas. Malah jurulatih mereka turut perlu membuktikan diri dalam membangunkan pemain, tetapi sebaliknya mereka bertindak dan bercakap seolah-olah mereka tahu semua perkara.

“Rendahkan diri dan bercakaplah apabila anda sudah berjaya membuktikan diri dan berjaya membangunkan pemain untuk Selangor dan skuad kebangsaan.

“Pencapaian sebenar yang harus dicapai oleh Selangior II ialah apabila mereka berjaya menghasilkan pemain untuk pasukan negara dan bersaing dengan JDT di Liga Super Malaysia serta memenangi trofi. Bukan sekadar bertanding satu perlawanan, mereka harus konsisten dan bersaing sepanjang musim,” tambah Ollerenshaw.

Persoalan di sini, mengapa Scott Ollerenshaw yang merupakan Pengarah Teknikal Sabah FC dan tiada kena mengena dengan JDT bersungguh-sungguh menghentam jurulatih Selangor II berhubung kenyataannya mengenai JDT II?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.