Sean Selvaraj Masih Terkejut, Anggap Jaringan Tewaskan Bekas Pasukan Tercantik Dalam Karier

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ia malam penuh keajaiban buat penyerang Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj setelah meledak gol kemenangan sensasi buat pasukannya bagi membenam Selangor FC, 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Ahad.

Bukan sahaja membantu pasukannya bangkit memenangi perlawanan dengan penuh bergaya tetapi lebih istimewa jaringan tersebut antara tercantik sepanjang kariernya selaku pemain bola sepak profesional.

Malah, Sean Selvaraj yang juga bekas pemain Selangor sebelum ini seakan-akan masih tidak percaya bagaimana dia mampu melepaskan satu rembatan yang sangat menarik dari luar kotak penalti.

“Saya pun tidak tahu apa sebenarnya berlaku dan sampai sekarang saya masih tidak percaya boleh lakukan jaringan sebegitu.

“Malah saya rasakan ini jaringan tercantik yang pernah lakukan sepanjang bermain bola sepak dan tidak mungkin saya akan lupa walaupun dalam latihan,saya pernah lakukan beberapa kali teknik jaringan sebegitu.

“Selangor sememangnya masih ada di hati saya walaupun terpaksa meninggalkan kelab ini namun menjaringkan gol di sini dengan suasana yang sangat meriah sebegini, memang begitu mengujakan.

“Terima kasih juga jurulatih yang bagi peluang dan memasukkan saya sebagai penyerang gantian kerana ini memang posisi yang saya sangat selesa.

“Harap dengan gol ini, nama saya akan kembali diingati apabila sedikit tenggelam pada awal musim selepas jaringan berdepan PJ City,” katanya.

Pada perlawanan itu, Sean melakukan percubaan dari jarak kira-kira 35 meter yang menerjah jaring tatkala Samuel Somerville hanya terpaku di gawang.

Sebelum gol itu, Gustavo Almeida terlebih dahulu memadamkan kelebihan dimiliki Selangor menerusi dua jaringan pada minit 66 dan 80.

Selangor mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Herlison Caion dan Yazan Abu Al-Arab.

Bagi Gustavo pula, dia akui semangat yang tidak luntur serta percaya diri sendiri menjadi tunjang kebangkitan di sebalik kemenangan dramatik Negeri Sembilan.

“Inilah bola sepak, walaupun ketinggalan 2-0, kami masih percaya yang pasukan masih boleh bangkit dan cuba memenangi perlawanan.

“Saya sangat gembira kerana mampu meledak dua gol yang memberikan harapan semula kepada pasukan sebelum kami menang.

“Kemenangan ini antara paling dramatik buat Negeri Sembilan sepanjang musim ini dan kami akan terus berusaha mengekalkan kedudukan dalam tiga teratas,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.