“Sebahagian diri saya akan sentiasa berwarna merah biru” – Hariss Harun

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim telah mengadakan majlis makan malam besar yang cukup meriah pada Selasa, sebagai meraikan perpisahan Hariss Harun yang membuat keputusan meninggalkan pasukan.

Majlis yang diadakan dengan pelaksanaan dan pematuhan Standard Operasi Prosedur yang cukup ketat itu turut disertai Pemilik JDT sendiri, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta barisan kepimpinan tertinggi kelab.

Sebagai makluman, JDT dan Hariss Harun telah bersama-sama bersetuju untuk menamatkan kontrak sebagai menghormati keputusan Hariss untuk kembali ke Singapura atas urusan keluarga disebabkan pandemik Covid-19 yang telah menyukarkan beliau untuk berulang-alik ke Singapura lebih kerap.

Hariss menyertai JDT selepas menjulang gelaran Liga Super Malaysia bersama LionsXII dan kemudian memenangi tujuh lagi kejuaraan liga berturut-turut, Piala AFC 2015 bersejarah dan sembilan lagi trofi domestik di Malaysia.

Secara keseluruhan Hariss telah melakukan 197 penampilan, bermain 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering kali mempertahankan benteng pertahanan dari bahagian tengah buat JDT.

Tunku Ismail tidak ketinggalan menyatakan penghargaan penuh emosi kepada pemain berusia 31 tahun itu.

“Ketika permulaan projek ini pada 2013, saya tidak tahu banyak perkara tentang bola sepak tempatan. Saya mula lebih memahaminya pada 2014 dan sedar bahawa kelab ini tidak mempunyai seorang ‘defensive midfielder’ – tulang belakang kepada pasukan – dan dia adalah pemain pertama yang saya tandatangani pada 2014.

“Saya bertemu pemuda ini dan memberitahu beliau tentang projek saya, aspirasi, serta apa yang tidak lengkap pada kelab dan bertanya seandainya beliau boleh membantu. Beliau sudah hampir ke Portugal ketika itu tetapi saya yakinkan beliau ke sini untuk memenangi kejuaraan.

“Beliau bersetuju untuk bersama-sama dengan kami ketika pasukan ini tidak mempunyai apa-apa. Tiada pusat latihan, tiada pengangkutan rasmi, tiada pejabat dan pelbagai lagi. Hari ini, JDT telah menjadi sangat berjaya dan Harris Harun telah menjadi bahagian yang penting dalam kelab ini.

“Hariss, saya secara peribadi dan bagi pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya dalam karier anda. Anda sentiasa akan mendapat sokongan saya, sokongan kami dan anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari keluarga JDT, dan seorang legenda JDT,” ujar Tunku Ismail.

Manakala Hariss Harun, menganggap lebih tujuh setengah tahun menyarung jersi JDT, adalah perjalanan yang tidak akan dapat dilupakan dalam karier bola sepaknya.

“JDT lebih dari sebuah kelab, ia adalah sebuah keluarga yang memberi ruang dan peluang kepada saya untuk memperbaiki diri sebagai pemain bola dan sebagai individu. Saya akan senantiasa berterima kasih atas peluang untuk mewakili negeri Johor Darul Ta’zim.

“Mengenang hari pertama saya di sini, sehingga kejayaan yang dimiliki kelab pada hari ini, saya merasa beruntung dapat menyaksikan transformasi JDT. Kenangan-kenangan yang akan bersama saya selamanya. Persahabatan yang terjalin dengan jurulatih, pegawai dan rakan sepasukan, saya belajar sesuatu dari setiap mereka.

“Kepada penyokong JDT, saya memegang erat pada semangat dan sokongan yang tiada tandingnya, suasana alunan-alunan yang bersemarak di stadium Larkin dan kemudian di stadium Sultan Ibrahim adalah antara memori terindah bagi saya. Anda yang sentiasa memberi semangat kepada pasukan untuk memberikan persembahan dan permainan yang terbaik.

“Kepada Boss TMJ, saya amat berterima kasih dan tidak akan dapat membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya ketika Tuanku membawa saya ke kelab dan memberi saya peluang untuk memimpin pasukan pada tahun-tahun terakhir saya di kelab.

“Kepada rakan sepasukan dulu dan sekarang, saya akan merindui anda semua. Terima kasih atas semua kenangan. Terus terbang tinggi dan saya yakin anda akan membawa kejayaan ke kelab seperti selalu.

“Saya dengan bangga mengatakan bahawa sebahagian daripada diri saya akan sentiasa berwarna merah dan biru. Luaskan Kuasamu Johor! Sehingga kita berjumpa lagi,” ujar Hariss Harun.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.