“Sebenarnya Dion Cools Belum Pulih Sepenuhnya” – Cheng Hoe

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa pemain pertahanan FC Midtjylland, Dion Cools sebenarnya belum 100 peratus pulih daripada kecederaan.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium itu baru-baru ini digugurkan daripada kem latihan skuad kebangsaan atas alasan kecederaan namun timbul pertikaian mengenai perkara itu berikutan dia tetap berada di dalam skuad FC Midtjylland dalam dua aksi terakhir.

Berita Berkaitan : Benarkah Dion Cools Cedera?

Malah dia juga diturunkan pada 10 minit terakhir ketika pendahulu Danish Superliga itu menewaskan Aarhus GF pada Ahad, justeru ada yang menganggap Persatuan Bolasepak Malaysia menyembunyikan alasan sebenar mengenai penggugurannya.

Begitupun Cheng Hoe berkata pemain itu memang mengalami kecederaan dan tidak dipanggil kerana tidak dalam keadaan 100 peratus bersedia.

“Saya tahu ramai yang tertanya-tanya mengenainya selepas melihat dia bermain, tapi saya mahu pemain yang melapor diri ke kem latihan berada dalam keadaan 100 peratus terbaik (bebas kecederaan). Kita sentiasa berkomunikasi dengan pihak atasan kelab dia dan dia tidak di tahap terbaik.

“Walaupun dia bermain dalam 10 minit terakhir (lawan AGF), 10 minit itu adalah proses pemulihan, untuk comeback ke dalam permainan bagi mana-mana pemain. Kita harap dia akan dapat bersama kita pada masa akan datang apabila sudah pulih sepenuhnya,” kata Cheng Hoe pada sidang media online bersama wartawan Malaysia.

Cheng Hoe sebelum ini telah memanggil Shahrul Nizam Ros Hasni sebagai pengganti saat akhir kepada Dion Cools namun dia tidak melapor diri menyebabkan skuad Harimau Malaya terbang ke Jordan dengan hanya 22 pemain.

Dengan ketiadaan Dion Cools, Shahrul Nizam, serta Sharul Nazeem Zulpakar yang digugurkan kerana kecederaan, Cheng Hoe sebenarnya tidak banyak pilihan di pertahanan tengah untuk dipertaruhkan dan dijangka bersandarkan kepada kelibat Aidil Zafuan, Irfan Zakaria dan Dominic Tan.

Skuad negara akan menentang Jordan pada 6 Oktober disusuli Uzbekistan pada 9 Oktober, kedua-duanya di Jordan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.