“Sekadar nampak kuat atas kertas tak cukup”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad Harimau Malaya yang akan bermain di baki aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 disifatkan ramai sebagai antara terbaik berjaya dikumpulkan.

Dibarisi tiga pemain naturalisasi, enam pemain berdarah kacukan serta empat pemain bermain di luar negara, skuad ini dikatakan lebih ampuh berbanding skuad dua tahun yang lalu dan mempunyai peluang untuk melakar kejutan dan melangkah ke pusingan seterusnya.

Skuad Harimau Malaya ketika ini di tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, dua mata di belakang Vietnam dan satu mata mengatasi Thailand.

Namun bagi Tan Cheng Hoe, sekadar nampak kuat di atas kertas tidak cukup, dan menekankan banyak aspek perlu diberi perhatian dan ditingkatkan sebelum aksi menentang Emiriah Arab Bersatu pada 3 Jun, disusuli Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

“Kalau kita lihat di atas kertas, memang kita dapat kumpulkan barisan terbaik di setiap posisi namun apa yang penting ialah bagaimana mereka boleh bermain sebagai satu unit. Keserasian adalah aspek yang perlu diberikan perhatian.

“(Kekuatan) atas kertas sahaja. Jadi, dengan beberapa siri perlawanan persahabatan dan sesi latihan dan taktikal, kita harap dapat meraih keputusan positif sebelum membuka kempen kelayakan.

“Pemain juga tahu cabaran kali ini sangat berbeza kerana kita tidak beraksi di laman sendiri dan tanpa sokongan penyokong. Jadi, mereka perlu sentiasa kuatkan mental dan fizikal untuk hadapi perlawanan penting ini,” kata Cheng Hoe pada sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

Sebagai rekod, pasukan negara akan terlebih dahulu mengharungi dua aksi pemanas badan apabila bertemu Kuwait (23 Mei) di Dubai dan kemudiannya berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei.

Sementara itu mengenai cuaca panas di Dubai yang boleh mencecah setinggi 41 darjah Celcius, Cheng Hoe akui ia antara cabaran terbesar perlu dihadapi barisan pemainnya.

“Apabila kita sampai di Dubai pada Khamis, keadaan tidaklah begitu panas namun suhu maksimum adalah 41 darjah Celcius. Namun apabila menghampiri petang untuk kami menjalani latihan, suhunya agak menurun.

“Saya harap pemain lebih cepat dapat sesuaikan diri dengan cuaca dan masa di sini. Ia bukan perkara mudah tetapi kita kena berfikiran positif kerana kita mahukan persiapan pasukan berjalan dengan lancar.

Foto : Ehsan FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.