Selalu Berbaju Merah & Pakai Bib Kuning, Bojan Hodak Dedah Sebabnya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika anda mengikuti saingan Liga Malaysia daripada awal dan bukan bangsa final semata-mata, ada satu perkara yang pastinya anda perasan mengenai Bojan Hodak.

Pengendali KL City itu akan sentiasa dilihat memakai bib kuning terutama dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Lazimnya seseorang jurulatih atau pegawai pasukan akan diminta memakai bib apabila warna baju mereka sama dengan warna jersi dipakai pemain di atas padang.

Jadi apabila Bojan Hodak sentiasa memakai bip kuning, ramai yang mungkin beranggapan ini kerana dia memakai warna baju sama dengan pemain.

Bagi yang betul-betul teliti dan perasan benda ini, pastinya timbul persoalan “dah kenapa tiap-tiap game kena pakai bib dia ni, dah macam pakcik main bola jaring time Hari Keluarga, takkanlah tak boleh pakai baju lain”.

Menariknya begitu juga lah penampilan Bojan Hodak ketika aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim baru-baru ini sehingga ada yang kata “laa tak tukar-tukar fesyen dia ni sampai ke final”.

Jurulatih kelahiran Croatia itu yang membimbing KL City menoktahkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia selama 32 tahun, menjelaskan sebabnya.

“Azimat bertuah adalah bib saya. Saya memakainya sejak perlawanan pertama, kami menang dan selepas itu saya tidak menukarnya. Saya terus memakainya setiap kali perlawanan di tempat sendiri.

“Kami menjadi tuan rumah pada final jadi untuk itu, saya tidak menukarnya. Kalau saya memakainya sejak daripada mula, saya akan terus melakukannya sehingga perlawanan akhir.

“Kadang kala kita perlu ada kepercayaan tersendiri di mana sekiranya semuanya berjalan lancar, kita tidak perlu mengubahnya,” katanya.

Kejayaan KL City pada Selasa lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil dianggap antara kejutan terbesar pernah disaksikan dalam aksi final memandangkan mereka menewaskan pasukan yang dilabel sebagai pilihan mutlak.

Kemenangan 2-0 menerusi jaringan Zhafri Yahya dan Paolo Josue itu juga memastikan mereka menyambar tiket ke Piala AFC musim depan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.