Selangor bangkit jinakkan Perak, Sri Pahang kalah kali kelima

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selangor FC kembali ke landasan kemenangan dengan penuh bergaya setelah menjinakkan Perak FC 3-1 dalam aksi kelapan Liga Super 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.

Skuad bimbingan Karsten Neitzel yang tewas 1-2 di tangan Kedah Darul Aman pada Rabu lalu, tidak membenarkan tragedi sama berulang apabila tampil dengan permainan lebih kemas dan tersusun menentang Perak FC yang masih dibelenggu masalah tunggakan gaji.

Penyerang import yang juga pemenang kasut emas Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun muncul wira pasukan apabila meledak hatrik pada minit ke-7, 31 dan 51 tatkala jaringan Farid Khazali sekadar saguhati buat pasukan pelawat.

Ia kemenangan ketiga Selangor FC musim ini manakala bagi Perak FC pula kekalahan keempat.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, tuan rumah Kuala Lumpur City menambah derita Sri Pahang apabila menghadiahkan pasukan kendalian Dollah Salleh itu kekalahan ketiga berturut-turut dan yang kelima musim ini.

Jaringan Paolo Josue dan Daniel Ting meletakkan skuad bimbingan Bojan Hodak 2-0 di depan, sebelum Herold Goulon yang kembali ke dalam kesebelasan selepas menjalani penggantungan menjaringkan gol di lewat permainan untuk keputusan akhir 2-1.

Sementara itu, Johor Darul Takzim pula tidak berdepan masalah menewaskan PJ City 3-0 di laman sendiri dan mengukuhkan cengkaman di puncak liga.

PJ City ternyata bukan tandingan JDT pada malam ini, mereka ketinggalan seawal minit pertama menerusi tandukan kencang Gonzalo Cabrera dan penyerang sensasi Bergson Da Silva menambah dua jaringan pada minit ke-20 dan 30 untuk harimau selatan selesa mendahului.

Kedudukan itu bertahan sehingga tamat permainan sekaligus menyaksikan PJ City kendalian P.Maniam tewas buat kali kedua musim ini manakala JDT melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada empat mata mengatasi Kedah Darul Aman.

Satu lagi perlawanan, Melaka United mencatat kemenangan 3-0 ke atas Uitm FC yang bermain kali pertama di bawah bimbingan Reduan Abdullah setelah Frank Bernhardt direhatkan.

Gol buat Melaka United dijaringkan Sony Norde (m-36), Stefan Nikolic (m-60) dan S.Kumaahran (m-65).

Kredit foto : Selangor Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.