‘Selangor bukannya bermain baik, sebaliknya hanya lakukan apa yang patut untuk tidak kalah’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Johor Darul Takzim Benjamin Mora tidak teruja dengan permainan ditunjukkan oleh Selangor FC ketika kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim Larkin pada Rabu, yang sekaligus menyaksikan pasukan juara bertahan Liga Super itu gagal melebarkan permulaan sempurna bagi musim ini.

Ketika kedua-dua pasukan bertemu kali terakhir di gelanggang sama tahun lalu, JDT melakar kemenangan besar 6-1 ke atas Selangor FC dan berdasarkan prestasi semasa ramai beranggapan mereka mampu meneruskan momentum kemenangan.

Tetapi ianya tidak berlaku sebaliknya skuad bimbingan Karsten Neitzel memberikan tentangan sengit dan merebut pendahuluan seawal minit ketujuh menerusi Ifedayo Olusegun, malah hampir meraih jaringan kemenangan pada minit akhir tatkala Benjamin Mora pula menyaksikan pasukannya mensia-siakan dua penalti.

“Mereka ke mari macam bermain di perlawanan akhir Piala Dunia, tidak semua pasukan beraksi sebegitu apabila menentang JDT tetapi memang saya sudah menjangkakan situasi sedemikian.

“Saya tidak fikir mereka beraksi dengan baik cuma mereka berikan tekanan, agresif dan menyukarkan kami pada 20-30 minit pertama dengan corak permainan pantas dan melakukan apa yang patut untuk tidak tewas dalam perlawanan ini, kalau mereka seri dengan JDT, ia dianggap satu kejayaan musim ini.

“Di separuh masa kedua kita menguasai perlawanan dan beroleh banyak peluang jaringan, mereka (pemain Selangor) kerap terjatuh, banyak kali membuang masa. Ini adalah normal, mereka menggunakan sebaik mungkin sumber yang ada tetapi kami tidak akan membiarkan ini berulang apabila bertembung sekali lagi,” ujar Benjamin Mora selepas perlawanan.

Mengenai kegagalan Gonzalo Cabrera dan Bergson Da Silva menyempurnakan penalti, Benjamin Mora tidak menyalahkan mereka dan menganggap ia adalah normal dalam bolasepak, sambil menganggap dua pemain itu sudah melakukan yang terbaik.

“Cabrera sudah memberi yang terbaik namun kecederaan dialami di bahagian paha menyebabkan dia sedikit bergelut.

“Bergson juga belum berada di tahap kecergasan 100 peratus tapi dia tetap mahu beraksi dan saya puji semangat dia. Beri dia tempoh sedikit lagi dan pasti akan bangkit dengan persembahan lebih mantap untuk aksi seterusnya.”

Keputusan seri menyaksikan skuad harimau selatan kekal menerajui liga dengan 10 mata, terima kasih kepada Melaka United yang mengikat pasukan tangga kedua Terengganu FC juga dengan keputusan 1-1 di Kuala Terengganu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.