Selangor cari pasal intai pemain dari Korea Utara?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) diketahui sedang giat mempersiapkan pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Selain mengekalkan rata-rata pemain tonggak dan berada dalam proses memuktamadkan rundingan dengan beberapa pemain yang menuju penghujung kontrak, mereka juga sedang memburu pemain-pemain baru untuk memperkuatkan pasukan termasuklah pemain import.

Baca : Brendan Gan kekal, Anwar Ibrahim disingkir, Quentin Cheng antara yang diserap

Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar memberitahu antara pemain import yang berada dalam radar adalah pemain dari Korea Utara dan Korea Selatan.

Laporan BH Sukan menyebut pemain yang dimaksudkan adalah pemain kebangsaan Korea Utara yang beraksi bersama kelab Al-Duhail di Qatar, Han Kwang Sung.

Sekiranya benar Kwan Sung adalah pemain yang dimaksudkan, FAS dan kerajaan Malaysia mungkin berdepan masalah kerana melanggar arahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) klausa 2397 perenggan 8 yang dikuatkuasakan pada 2017.

Klausa tersebut menyebut bahawa anggota badan dunia itu dilarang mengambil individu daripada Korea Utara bekerja dalam apa jua sektor.

Malahan, Al-Duhail sendiri difahamkan telah menerima tekanan hebat menyaksikan nama pemain itu tiada dalam senarai pasukan itu di mana kali terakhir dia bermain adalah pada Ogos lalu.

Begitupun menurut Shahril Mokhtar, setakat ini tiada pihak yang memberitahu berkaitan larangan mengambil pemain daripada Korea Utara selain turut menjelaskan bahawa negara berkenaan juga mempunyai anggota di Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sebelum ini, Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner memberitahu sekurang-kurangnya lima pemain telah sah ditamatkan kontrak dengan Farizal Harun, Nicholas Swiras dan Khyril Muhymeen Zambri adalah antaranya.

Feichtenbeiner menegaskan proses ‘pembersihan’ pasukan terpaksa dibuat bagi memberi ruang kepada pemain-pemain muda dari skuad Selangor II untuk diserap ke skuad senior.

Bagi musim 2020, beberapa pemain muda telah diberi pendedahan beraksi dalam saingan Liga Super iaitu Zikri Khalili, Azrin Rusmini, Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal Lau, Anwar Ibrahim dan Zahril Azri Zabri.

Anwar Ibrahim dan Zahril Azri bagaimanapun difahamkan tidak disambung kontrak – kedua-dua mereka adalah pemain yang diketengahkan bakat dan dibawa masuk ke dalam skuad oleh bekas jurulatih B.Sathianathan.

Foto : Stadium Astro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.