Selangor, KL City Antara Pasukan Mahu Dielak Di Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Menjelang undian saingan Piala Malaysia edisi ke-100 pada Rabu, Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC dijangka menjadi pasukan yang mahu dielakkan rata-rata pasukan terutama beberapa pasukan pilihan.

Ini kerana kedua-dua pasukan sedang berada di prestasi terbaik terutama pada penghujung saingan Liga Super yang menutup tirai minggu lalu.

Menurut penganalisis Liga Malaysia yang juga bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli, beliau menjangkakan mana-mana pasukan yang akan diundi bersama dua pasukan ini bakal memperlihatkan saingan sengit di peringkat kumpulan.

“Kalau kita tengok persembahan Selangor dan KL City kebelakangan ini, sememangnya mereka akan menjadi cabaran besar kepada pasukan-pasukan di balang satu.

“Biarpun Selangor tewas kepada PJ City pada aksi terakhir namun dalam beberapa perlawanan sebelum itu, mereka saya dapati ada adunan pemain senior dan junior yang begitu baik.

“Mereka tampil cemerlang dalam kebanyakan perlawanan yang dilangsungkan di tempat lawan dan secara keseluruhan, kualiti mereka tidak jauh dengan empat pasukan di tangga teratas.

“KL City pula mempunyai rekod begitu menakjubkan apabila tidak tewas dalam 11 perlawanan di tempat sendiri walaupun mereka ada masalah ketiadaan penyerang import.

“Bagaimanapun, Bojan Hodak (ketua jurulatih KL City) begitu ‘masak’ dengan Liga Malaysia apabila bijak menggunakan Paulo Josue dan Romel Morales beraksi di posisi penyerang selain sudah mula menggunakan Safee Sali.

“Namun, jangan juga memandang rendah satu lagi pasukan di balang kedua iaitu PJ City, mereka sudah mula menemui rentak kemenangan pada dua aksi terakhir selain Melaka United,” katanya.

11 pasukan Liga Super serta dua pasukan Liga Premier, Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC telah mengesahkan tempat dalam saingan musim ini.

Sementara baki tiga lagi slot ke Piala Malaysia akan ditentukan antara empat lagi pasukan Liga Premier iaitu membabitkan PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan FC dan Kelantan United FC.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Syed Adney Syed Hussein, mengakui juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih menjadi pilihan utama di atas kertas bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi dua tahun lalu namun terdapat beberapa pasukan dijangka mampu memberikan cabaran.

Beliau juga merupakan bekas penjaga gol kebangsaan berkata Terengganu FC di bawah kendalian Nafuzi Zain, dijangka akan membuat kebangkitan selepas melalui kekecewaan di penghujung saingan Liga Super.

“Penang, Kedah, Terengganu FC, dan Selangor saya rasa akan beraksi lebih baik di Piala Malaysia dengan mereka mempunyai dua minggu untuk melakukan persiapan.

“Namun saya rasa Terenggganu yang menjadi pasukan paling kecewa kerana selepas sekian lama berada di tempat kedua tetapi akibat gagal peraga prestasi terbaik dalam beberapa perlawanan terakhir, mereka terus jatuh ke tangga keempat.

“Saya rasa Nafuzi pasti membangkitkan semula semangat pemain-pemainnya di Piala Malaysia yang hanya punyai enam perlawanan sahaja untuk diharungi di peringkat kumpulan.

“Begitu juga dengan Kedah, mereka akan bertambah garang dengan kehadiran semula Kpah Sherman untuk kembali bergandingan semula bersama Tchetche Kipre.

“Namun, saya masih meletakkan JDT sebagai pasukan pilihan kerana ada kekuatan yang baik dari segi barisan pemain utama dan simpanan malah mereka boleh melakukan penggiliran pemain jika diperlukan ekoran kecederaan atau penggantungan mana-mana tonggak utama,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.