Selangor terciduk di laman sendiri, kemarau kemenangan berpanjangan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Prestasi cemerlang ketika mengikat Johor Darul Takzim (JDT) tempoh hari gagal diteruskan oleh Selangor FC, apabila kecundang 0-2 kepada Penang FC di laman sendiri, dalam aksi kelima Liga Super 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.

Skuad bimbingan Karsten Neitzel berada dalam tahap keyakinan tinggi setelah menjadi pasukan pertama untuk menoktahkan rentak kemenangan JDT pada Rabu lalu, tetapi ternyata keyakinan sahaja tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan kemenangan menentang barisan bersemangat tinggi Penang FC.

Gol oleh Al Hafiz Harun dan Danial Ashraff Abdullah memastikan tiga mata buat Penang FC bimbingan Thomas Trucha manakala kemarau kemenangan Selangor FC melebar kepada empat perlawanan. Satu-satunya kemenangan mereka setakat ini adalah pada perlawanan sulung menewaskan Sri Pahang 3-1.

Dalam pada itu, Melaka United pula mengetepikan seketika perkhabaran duka dipotong tiga mata untuk akhirnya mencatat kemenangan pertama setelah membenam Kuala Lumpur City FC 2-1 di Stadium Hang Jebat.

Dua jaringan penalti oleh Alex Goncalves pada minit ke-51 dan 80 membantu skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan menghapuskan badi seri dalam empat perlawanan lalu dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan, tatkala Kuala Lumpur City FC mengalami kekalahan kedua mereka musim ini.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Kedah Darul Aman FC mencatat kemenangan ketiga setelah membenam Uitm FC 1-0 di Stadium Uitm Shah Alam menerusi jaringan tunggal Faizat Ghazali pada minit ke-43.

Sementara itu dalam aksi Liga Premier, Kuching City FC mencatat kemenangan pertama musim ini setelah menewaskan PDRM FC 2-1 menerusi jaringan Adam Shreen Tambi dan Hudson De Jesus.

Manakala JDT II pula bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk menewaskan Perak II 3-2.

Perak II mendahului menerusi jaringan Adib Ra’op pada minit keenam sebelum JDT II menyamakan kedudukan 10 minit menerusi Fernando Rodriguez. Farid Kazali memastikan kelebihan kembali kepada Perak II pada minit ke-38 namun jaringan Feroz Baharudin dan Luis Cabrera pada separuh masa kedua memastikan kemenangan bergaya buat tuan rumah.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.