Selepas disingkir Barcelona, Luis Suarez kekal berbisa, atasi rekod Lionel Messi

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Luis Suarez membuktikan sentuhan jaringannya kekal berbisa meskipun disingkir oleh Barcelona sebelum permulaan musim 2020/2021.

Bukan sahaja dia berterusan meledak gol untuk Atletico Madrid dan kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak La Liga dengan tiga gol, tetapi jaringannya ketika menentang Celta Vigo merupakan jaringan peribadi ke-150 Luis Suarez dalam La Liga.

Dia sebelum ini telah menjaringkan 147 gol dalam saingan liga sepanjang enam musim bersama Barcelona sejak 2014.

Ini menjadikannya sebagai pemain kedua terpantas abad ini untuk merekodkan jaringan sebanyak itu dalam La Liga, iaitu dalam 195 perlawanan, berada di belakang bintang bolasepak dunia Cristiano Ronaldo yang mencapai angka 150 gol dalam 140 perlawanan buat Real Madrid.

Malah rekod hebat itu sekaligus menyaksikan dia mengatasi bekas rakan sepasukan Lionel Messi yang berada di kedudukan ketiga dalam carta.

Suarez meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia menerusi siri persembahan cemerlang ketika bersama Liverpool bermula 2011.

Dia menamatkan tiga musim berturut-turut sebagai penjaring terbanyak Liverpool dalam kempen Liga Perdana Inggeris, malah pada musim terakhir bersama pasukan juara EPL itu dia memenangi kasut emas selepas menjaringkan 31 gol dalam 33 perlawanan.

Menyertai Barcelona pada 2014/2015, Luis Suarez menjaringkan 16 gol liga pada musim sulungnya sekaligus membantu pasukan itu menjulang La Liga.

Sentuhan klinikal depan gawang diteruskan pada musim berikutnya, menyaksikan dia memenangi kasut emas La Liga dengan menjaringkan 40 gol, dalam masa sama membantu Barcelona mempertahankan kejuaraan.

Pada musim terakhirnya di Nou Camp 2019/2020 yang mana Barcelona buat kali pertama menamatkan musim tanpa sebarang trofi sejak 2007/08, dia menjaringkan 16 gol dan kemudian apabila Ronald Koeman mengambil alih tugas pengurus, nama Luis Suarez antara yang pertama disingkirkan.

Keputusan itu menguntungkan pesaing mereka Atletico Madrid yang tidak menunggu lama untuk menyambar pemain berusia 33 tahun itu dan kini dia membuktikan betapa sentuhannya masih lagi berbisa, sesuatu yang pastinya sedikit membuatkan Koeman menyesal melepaskan bintang Uruguay itu.

Untuk Suarez mengatasi rekod jaringan Cristiano Ronaldo mahupun Messi dalam La Liga pastinya mustahil – tetapi jika dia mengekalkan prestasinya, dia boleh untuk setidak-tidaknya mengintai untuk memecah masuk ke dalam 10 penjaring terbanyak sepanjang zaman La Liga.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.