Selepas James Rodriguez, giliran Gareth Bale pula ..

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas menjual penjaring terbanyak Piala Dunia 2014, James Rodriguez dengan harga murah sekitar £22 juta kepada Everton, Real Madrid nampaknya mahu melepaskan pula pemain sayap Gareth Bale juga dengan harga murah.

Media Sepanyol melaporkan Real Madrid terdesak untuk meringankan beban kewangan mereka yang mencecah £312 juta semusim dan penjualan Gareth Bale boleh membantu mereka menjimatkan bayaran gaji £350,000 seminggu untuk pemain antarabangsa Wales itu.

Justeru bekas pemain termahal dunia itu boleh didapatkan pada harga lebih kurang sama dengan James Rodriguez iaitu sekitar £22 juta. Dia menyertai Real Madrid pada 2013 dengan bayaran perpindahan £85 juta yang merupakan rekod perpindahan termahal dunia ketika itu.

Sama seperti James Rodriguez, Gareth Bale tidak lagi mendapat kepercayaan pengurus pasukan Zinedine Zidane untuk diturunkan di mana dia terlepas lapan perlawanan terakhir Real Madrid bagi musim 2019/2020, termasuk aksi suku akhir Liga Juara Eropah menentang Manchester City.

Dia juga dikecam kerana menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Zidane dengan cara tidak professional pada bulan Jun lalu di mana dia berpura-pura tidur dengan menutup muka menggunakan face-mask selain membuat lagak meneropong ke tengah padang.

Sehingga ke saat ini, Gareth Bale masih belum melapor diri di kem latihan Real Madrid selepas pulang ke Sepanyol dengan mengalami kecederaan ringan ketika mewakili Wales dalam aksi antarabangsa.

Pemain berusia 31 tahun itu telah berulang kali meminta untuk berpindah ke pasukan lain yang boleh menawarkan lebih minit bermain tetapi ketika itu permintaannya tidak dilayan tetapi Real Madrid mula merasakan keputusan menyekat hajat pemain itu berpindah adalah satu kesilapan besar.

Pada harga £22 juta, Gareth Bale berpotensi menarik minat beberapa kelab yang berminat mendapatkannya seperti Manchester United dan Tottenham Hotspur.

Tetapi keutamaan Red Devils ketika ini masih lagi terhadap usaha mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund manakala Spurs pula mungkin menarik diri kerana tidak mampu untuk menampung gaji tinggi pemain itu yang meninggalkan mereka lapan tahun lalu.

Begitupun jika sekalipun dia gagal dijual, tidak rugi sekiranya Zinedine Zidane memanfaatkan sebaik mungkin kelibat Gareth Bale.

Dengan Eden Hazard gagal menterjemah prestasi diharapkan pada musim sulungnya di LaLiga dan dilaporkan masih merawat kecederaan, Gareth Bale boleh dipertaruhkan dalam masa sama setidak-tidaknya gaji yang dibayar tidaklah sia-sia, dan jika dia boleh digilap semula untuk kembali kepada prestasi terbaik, ia sudah tentu satu bonus buat Real Madrid.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.