Selepas Menjulang KL City, Shahidan Kassim Diminta Pulihkan Bolasepak Perlis

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan rasa bangga dan teruja dengan kejayaan sensasi pasukan KL City menjulang Piala Malaysia 2021 dengan menewaskan pasukan pilihan, Johor Darul Takzim pada Selasa.

Shahidan Kassim merupakan antara ahli politik yang hadir menyaksikan perlawanan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan sudah tentunya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau mempunyai hak untuk turut sama bergembira dengan kejayaan manis dilakar KL City FC walaupun namanya kurang ‘dipetik’ berbanding dua lagi tokoh politik Tan Sri Annuar Musa (Presiden KL City) mahupun Khalid Abdul Samad (Presiden KLFA).

Malah, meskipun dilihat sedikit berkecil hati namanya tidak disebut dan tidak dipanggil turun ke padang untuk turut sama meraikan kemenangan ketika penyampaian medal dan trofi, Shahidan Kassim menjanjikan bonus buat pemain-pemain pasukan KL City yang menoktahkan penantian 32 tahun untuk menjulang Piala Malaysia.

Scref Selepas Menjulang KL City, Shahidan Kassim Diminta Pulihkan Bolasepak Perlis

Meninjau di ruangan komen posting beliau itu, selain dibanjiri dengan ucapan tahniah dan juga luahan kecewa tiada cuti peristiwa diumumkan susulan kemenangan KL City, antara komen lain yang cukup popular adalah permintaan supaya beliau mengambil alih semula kepimpinan Persatuan Bolasepak Perlis dan memulihkan bolasepak negeri itu.

Shahidan Kassim bukan nama asing bagi penyokong bolasepak Perlis khususnya, beliau menerajui PFA selama 15 tahun dari 1998 – 2013 dan dalam tempoh itu menyaksikan pelbagai kejayaan gemilang dilakar Perlis yang merupakan negeri terkecil di Malaysia.

Antara kejayaan tersebut termasuklah menjuarai Liga Super 2005, dua kali menjulang Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta dua kali mara ke final Piala FA. Perlis tidak pernah memenangi sebarang trofi sejak menjulang Piala Sumbangsih pada 2008.

Era kejatuhan mereka bermula pada penghujung kepimpinan Shahidan Kassim apabila pasukan bergelut dengan masalah kewangan dan kemuncaknya mereka tersingkir ke saingan Piala FAM pada 2015, di bawah pimpinan Rozabil Abdul Rahman.

Walaupun cuba bangkit di bawah kepimpinan Allahyarham Amizal Shaifit Ahmad Rafie, ia menemui kegagalan yang mana menyaksikan penyertaan mereka dalam saingan Liga Premier 2019 dibatalkan seterusnya pasukan itu juga dikenakan penggantungan dua tahun oleh FIFA dari menyertai sebarang pertandingan.

PFA kini diterajui oleh Zainuddin Osman dan sehingga kini belum diketahui apa halatuju dan perkembangan bolasepak Perlis, sehingga penyokong mereka mengharapkan Shahidan Kassim untuk menjadi hero.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.