Selepas Mior Dani, Kelantan Lepaskan Pula Natanael Siringoringo

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Belum pun sempat penyokong Kelantan FC menerima kehilangan pemain tengah Mior Dani Armin Mior Ariffin yang dipinjamkan ke Sri Pahang sehingga tamat musim, mereka terpaksa menerima satu lagi kehilangan di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2022.

Ini berikutan pasukan pendahulu Liga Premier itu mengambil keputusan melepaskan pula pemain import dari Indonesia, Nataneal Siringoringo, juga secara pinjaman kepada kelab negara kelahirannya Dewa United sehingga tamat pusingan pertama Liga 1 Indonesia 2022/2023.

“Dalam pertemuan di antara pengurusan tertinggi kedua-dua kelab pada bulan lepas di Bali telah membincangkan halatuju pemain ini (Siringoringo) untuk mendapatkan pengalaman berharga bermain di kasta tertinggi Liga Indonesia.

“Pihak kami (TRW) ingin memaklumkan bahawa pinjaman ini hanya bersifat sementara bagi memberi peluang buat beliau meningkatkan tahap permainannya di negaranya sebelum kembali beraksi bersama pasukan TRW Kelantan FC pada musim hadapan. Sebagai makluman, Natanael masih mempunyai kontrak bersama TRW Kelantan FC sehingga penghujung 2024.

“Semoga Natanael Siringoringo memanfaatkan peluang yang diberikan bersama pasukan yang berpengkalan di Tangerang, Banten, Indonesia,” ujar kelab itu menerusi satu kenyataan.

Kelantan FC turut memaklumkan bahawa pihak pengurusan kelab Dewa United FC telah bersetuju untuk membuat bayaran pampasan “Transfer Loan Fee” yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Sebagai rekod, pada musim lalu Dewa United telah bermain di Liga 2 buat kali pertama dan terus “dinaikkan pangkat” layak ke Liga 1 2022/2023 yang dilabelkan antara kelab “sultan” di negara Indonesia.

Rata-rata penyokong agak terkejut dengan tindakan pihak pengurusan kelab, sambil menyifatkan bahawa ia adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku untuk sebuah pasukan yang sedang berada pada prestasi terbaik dan dalam landasan tepat memenangi kejuaraan untuk melepaskan dua pemain tonggak mereka di pertengahan musim.

Ada yang membuat andaian dengan melepaskan dua pemain ini, skuad kendalian Rezal Zambery Yahya itu sebenarnya sedang merancang untuk membawa masuk pemain baru yang lebih baik untuk memperkasa cabaran pasukan. Apakah sebenarnya perancangan mereka, mungkin akan terjawab dalam tempoh terdekat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.