Seluruh Keluarga Positif Covid Punca Penyerang Sri Pahang Hilang Fokus

Penyerang Sri Pahang Aung Kaung Mann
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Prestasi hambar dan kurang menyengat Aung Kaung Mann sejak saingan Liga Super kembali bersambung pada 24 Julai lalu ternyata meresahkan penyokong setia Sri Pahang.

Dia yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua pada bulan Mei meledak gol dalam penampilan sulung ketika Sri Pahang menewaskan Perak FC pada 5 Mei (aksi terakhir sebelum liga berehat panjang) dan dianggap solusi kepada masalah ketumpulan serangan pasukan itu selama ini.

Tetapi Aung Kaung Mann buntu dalam dua perlawanan menentang Melaka United dan Sabah FC menyebabkan dia antara pemain yang menjadi sasaran kritikan penyokong, bersama-sama seorang lagi penyerang Kenjok Wal Athiu.

Selepas meledak jaringan tunggal ketika Sri Pahang menewaskan PJ City 1-0 pada Ahad lalu di Stadium Darulmakmur, pemain ini mendedahkan punca dia tidak dapat memberi tumpuan sebelum ini.

“Kita menang menentang PJ City bukan semata-mata kerana saya jaringkan gol, tapi kita berjuang bersama sebagai satu pasukan.

“Saya akui prestasi saya tidak begitu baik kerana fikiran saya sedikit terganggu berikutan keluarga saya di Myanmar semuanya positif Covid-19.

“Kami sudah bersedia untuk teruskan perjuangan dalam perlawanan seterusnya. Terima kasih juga kepada semua penyokong di atas sokongan berterusan,” katanya.

Sri Pahang sepatutnya bertemu Kedah Darul Aman FC pada 4 Ogos tetapi perlawanan itu telah ditunda berikutan pasukan bimbingan Aidil Sharin itu telah menjalani kuarantin selama dua minggu selepas terdapat kes positif Covid di kem mereka.

Justeru aksi seterusnya skuad Dollah Salleh adalah menentang seteru pantai timur, Terengganu FC pada 7 Ogos nanti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, pemain sayap, Baqiuddin Shamsudin menghargai kepercayaan yang diberikan Dollah Salleh untuk terus membarisi skuad utama Sri Pahang musim ini.

Daripada 16 perlawanan yang telah diharungi, hanya dua perlawanan sahaja Baqiuddin diturunkan selaku pemain gantian dan ini membuktikan bahawa kehadirannya benar-benar ditagih untuk terus membantu pasukan memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Setakat ini, pemain berusia 27 tahun ini telah menjaringkan dua gol dan bertekad untuk sekurang-kurangnya meledak tiga hingga lima jaringan lagi pada baki perlawanan.

Kali terakhir dia menjaringkan gol adalah ketika menentang Sabah FC pada minggu lalu yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.

“Saya gembira apabila dapat bermain dengan Pahang dan saya juga tidak sangka sentiasa diberi kepercayaan untuk terus beraksi.

“Setiap kali jurulatih letak saya dalam kesebelasan utama, memang misi saya untuk buat yang lebih baik bantu pasukan.

“Kalau ikutkan daripada segi minit permainan, saya memang sudah berpuas hati dan sekarang kalau boleh daripada segi jaringan, harapnya dapat kumpul dalam lima gol lagi.

“Sekarang ini, kita ada pemain-pemain import baharu dan saya akui gandingan kami semua di atas padang lebih baik daripada sebelum ini yang menyaksikan pasukan agak bergelut untuk meraih kemenangan,” jelasnya.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.