Biar sahaja Kim Pan-gon membuat kerjanya dan dia tidak perlu untuk ikut kepada kehendak penyokong.
Itu tegas bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, B.Sathianathan, berikutan ramai yang menyelar pemilihan pemain dibuat pengendali dari Korea Selatan itu untuk menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 bermula 8 Jun ini.
Kim Pan-gon memuktamadkan senarai akhir 23 pemain beberapa hari lalu, yang menyaksikan nama dua pemain naturalisasi Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh turut tersenarai, di sebalik prestasi merosot mendadak.
Bagi Sathianathan, memanggil atau menyenaraikan mana-mana pemain adalah tugas mutlak seorang ketua jurulatih sambil mengakui bukan mudah untuk memuaskan hati semua.
“Dua jawatan di negara kita ini yang memang amat susah, Perdana Menteri dan ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan. Ini jawatan yang sentiasa dikritik hebat.
“Apa-apa keputusan memang ada yang tak suka dan ada yang suka, sebab itulah kita kena ikut seorang sahaja. Kalau nak ikut ramai, dalam negara kita ini mesti ada 11 Perdana Menteri.
“Tapi sekarang kita kena ikut keputusan Pan Gon, kalau nak ikut kehendak semua netizen, memang matilah. Sekarang memang nampak mereka sudah kacau tugas Pan-gon, ini lumrah sekarang bila ada netizen yang boleh komen dalam media sosial.
“Nasihat saya, jangan ikut, itu saja. Memang di mana-mana pun benda ini berlaku, tapi di sini saya nampak terlampau sangat. Orang kena pandai nilai jurulatih, lepas itu pasukan kita sendiri.
“Jika terlalu ikut apa netizen cakap, yang rugi akhirnya FAM juga. Ia kerana, contohnya kalau buang Pan Gon mereka (FAM) kena bayar, bukan tunjuk notis tiga bulan boleh bagi gaji tiga bulan.
“Netizen kena tahu kontrak, kalau netizen tak suka, satu sen pun mereka tak bagi. Jadi, yang rugi adalah FAM. Kita minta Pan Gon datang untuk membantu, bagi dia buat kerja,” kata Sathianathan dilaporkan BH Sukan.
Malaysia akan turun menentang Turkmenistan pada 8 Jun, disusuli Bahrain dan kemudiannya Bangladesh pada 14 Jun dalam misi untuk muncul 11 pasukan terbaik di pusingan kelayakan ketiga yang akan mara ke Piala Asia 2023.