Semuanya OK, Mehmet anggap persiapan serba sempurna

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic gembira dengan persiapan pasukannya dan menganggap semuanya serba sempurna ketika ini.

Dengan kesemua pasukan dibenarkan menjalani latihan secara “body contact” bermula 15 Julai, Mehmet menjelaskan fokus seterusnya adalah memastikan anak buahnya berada dalam keadaan terbaik sebaik sahaja mereka memulakan latihan fasa II dengan perlu lebih berhati-hati bagi elakkan sebarang kecederaan.

“Saya memang tidak sabar untuk melihat semua pemain berkumpul kerana ketika ini sesi latihan agak terhad apabila perlu dibahagikan dengan beberapa kumpulan.

“Saya amat berpuas hati dengan kecergasan yang ditampilkan pemain setakat ini kerana tiada kecederaan antara mereka, dan selepas ini perlu bekerja lebih keras dalam latihan untuk dapatkan balik momentum perlawanan”, jelasnya.

MULA CEPAT ATAU LAMBAT, PERAK BERSEDIA!

Justeru bagi Mehmet, sama ada saingan Liga Malaysia kembali bersambung lebih awal pada pertengahan Ogos ataupun pada September sepertimana perancangan asal, pasukannya akan berada dalam keadaan cukup bersedia.

“Sekiranya saingan kembali bersambung pada September, tiada masalah untuk pasukan kerana tempoh persediaan terutamanya latihan secara “body contact” dapat dilakukan lebih lama dengan lebih rapi.

“Semuanya bergantung kepada MFL apakah yang menjadi keutamaan sebelum mereka memutuskan tarikh sebenar saingan Liga Malaysia akan bermula.

“Sekarang ini kita mempunyai masa untuk mengumpulkan semua pemain yang ada dalam satu masa, dan sama ada kita bermula lebih awal atau bulan September sekalipun, tiada satu pasukan pun yang akan rasa apa-apa kelebihan kerana kita semua dalam situasi sama.

“Jadi, semua akan merasa benda yang sama di mana kalau daripada segi tempoh masa latihan yang lama, semua pasukan akan merasa perkara itu, jadi tiada masalah pun.

“Kalau bermula pada Ogos, mungkin kebaikannya daripada aspek lain pula, jadi terserah kepada MFL untuk memutuskan kerana bagi saya, kedua-duanya tetap pilihan yang positif untuk pasukan”, katanya.

Perak ketika ini di tangga kedua Liga Super, dua mata di belakang JDT dengan lapan mata dan belum tewas dalam saingan musim ini.

Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tarikh rasmi Liga Malaysia setelah menerima laporan penuh persiapan untuk penyambungan liga daripada Sekreteriat MFL dalam tempoh terdekat ini.

Berdasarkan perancangan MFL sebelum ini, badan pentadbir Liga Malaysia itu akan meneruskan pertandingan CIMB Liga Super dan Liga Premier pada 1-2 September dan akan berakhir pada 26-27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja.

Foto : PerakTBGMy

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.